ARTIKEL

Nanta (dua kiri) mendengar taklimat pada Program Turun Padang Projek Menaik Taraf Jalan Persekutuan FT 3210 di Pekan Batu 9 hari ini.

Projek naik taraf Jalan Persekutuan FT3210 Hulu Langat akan beri manfaat kepada 52,000 pengguna

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

HULU LANGAT, Selangor: Projek menaik taraf Jalan Persekutuan FT3210 dari Jalan Dato Alias ke persimpangan Batu 9, Hulu Langat, yang dijangka siap pada pertengahan 2026, bakal memberi manfaat kepada 52,000 pengguna jalan raya.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, berkata projek dengan kos RM123.66 juta itu sepatutnya siap pada 2025, namun terpaksa dilanjutkan berikutan masalah pengambilan tanah dan pemindahan utiliti.

“Ini semua untuk mengurangkan kesesakan serta demi keselesaan dan keselamatan pengguna sebab kawasan ini sedang membangun, jalan sedia ada sudah tidak mampu menampung pertambahan trafik,” katanya kepada pemberita selepas meninjau projek itu di sini hari ini.

Nanta berkata program turun padang itu bertujuan memastikan projek dapat disiapkan mengikut jadual yang ditetapkan di samping sentiasa mengutamakan aspek keselamatan di tempat kerja dalam pelaksanaan semua projek Kementerian Kerja Raya (KKR).

Projek itu diluluskan di bawah peruntukan pembangunan ‘Rolling Plan 4’, Rancangan Malaysia ke-11 (RP4 RMK11) bagi mengurangkan kesesakan trafik, khususnya pada waktu puncak, dari Hulu Langat menghala ke Kuala Lumpur.

Projek yang bermula pada 6 Ogos 2021 itu merangkumi kerja-kerja menaik taraf dari simpang Taman Suntex sepanjang 1 kilometer (km), dan FT3210 dari Persimpangan Batu 9 ke Persimpangan Jalan Dato Alias sepanjang 1km dari jalan tunggal dua lorong kepada jalan berkembar empat lorong.

Ini termasuk pembinaan jejambat dua lorong satu hala dari Hulu Langat ke Cheras serta membina dan menggantikan Jambatan Sungai Sering.

Dalam pada itu, Nanta turut meninjau lokasi yang sering mengalami banjir kilat di laluan FT3210, terutamanya di jalan masuk ke kawasan perindustrian Hulu Langat, iaitu seksyen 2.45 (Stor Gas Pusaka) dan seksyen 5.45 (PETRONAS Bukit Nanding).

Bagi seksyen 2.45, beliau berkata Bahagian Pengurusan Fasiliti (BPF) KKR telah meluluskan peruntukan berjumlah RM50,000 pada Februari lepas bagi kerja-kerja pembersihan pembetung yang dipenuhi air dan keladak serta siap dilaksanakan pada 3 April lepas.

Bagi penyelesaian jangka panjang pula, BPF mengarahkan Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah dan pihak berkuasa tempatan (PBT) terlibat untuk mengadakan penyelarasan bersama agensi terbabit bagi menyelesaikan isu hakisan tanah dan pembersihan saluran keluar pembetung di lokasi tersebut untuk mengelakkan banjir kilat.

Nanta berkata bagi mengatasi banjir kilat di PETRONAS Bukit Nanding, JKR Hulu Langat memohon Anggaran Penyenggaraan Jalan (APJ) Tahun 2024 bagi kerja-kerja menaik taraf longkang dengan kos anggaran bernilai RM2 juta.

Namun, JKR Daerah akan terus mengadakan perbincangan dengan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan PBT yang terlibat bagi penyelesaian jangka panjang.

Sehingga Mei 2024, KKR telah meluluskan APJ Tahun 2024 sebanyak RM18.36 juta kepada JKR Hulu Langat untuk penyenggaraan Jalan Persekutuan. – BERNAMA

BERITA LAIN

PKR Kelantan wujudkan NGO Anak Muda MADANI

PASIR MAS, Kelantan: Parti Keadilan Rakyat (PKR) Kelantan akan membentuk satu badan bukan kerajaan (NGO) khas yang dikenali sebagai Anak Muda MADANI bagi menyantuni golongan

BERITA TERBARU