SRI AMAN: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meluluskan peruntukan RM300 juta bagi menaiktaraf bekas jalan Ulu Skrang, di sini.
Menurutnya, pembangunan projek laluan sepanjang 50 kilometer itu bakal memberikan manfaat besar kepada penduduk setempat.

Pada masa yang sama, beliau turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM5.76 juta untuk pembinaan jambatan konkrit bertetulang sepanjang 60 meter dan lapan meter lebar di Nanga Entalau.
“Saya berbesar hati mengumum dan meluluskan peruntukan sebanyak RM300 juta bagi menaiktaraf bekas jalan Ulu Skrang dan peruntukan sebanyak RM5.76 juta untuk pembinaan jambatan konkrit bertetulang di Nanga Entalau, Ulu Skrang,” katanya ketika menghadiri Majlis Merarau Ngiling Tikai, Parti Rakyat Sarawak di sini, hari ini.
Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, kerajaan juga telah memperuntukan sejumlah RM1.114 bilion bagi projek sambungan dan projek baharu di Sri Aman.
“Ini adalah kerjasama antara Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah dan kerajaan negeri,” ujarnya.
Pada masa yang sama, beliau turut mengumumkan peruntukan RM85 juta bagi projek Jiwa Murni yang dijangka bermula pertengahan Julai ini.
Untuk berita terperinci, sila langgani e-paper atau akhbar Suara Sarawak di pasaran.