Projek pembinaan RMKS Batang Oya disambung semula

OYA: Projek Rancangan Memulihkan Koridor Sungai (RMKS) Batang Oya di Pekan Sabtu Oya, Lembangan Batang Oya, Bahagian Mukah diteruskan.

Menurut Pengerusi Pasar Sabtu Oya (PSO) Arini Suhaili, projek berkenaan dapat diteruskan setelah tiga bulan tergendala. “Setelah tergendala seketika sejak 18 Mac lalu akibat Covid-19 dan arahan PKP, PKPB dan PKPP, kini kita dapat melihat perkembangan kerja pembinaan Projek Tebingan Pekan Sabtu Oya Fasa 2,” katanya.

Tinjauan Suara Sarawak mendapati, tempat pejalan kaki di tebingan berkenaan telah disimen manakala sepanjang bahagian luar tebingan atau bahagian dalam sungai pula akan dipasang dengan bongkah batu dalam masa terdekat ini.

“Jawatankuasa Pekan Sabtu Oya dan warga Pekan Sabtu yang menerima manfaat akur projek ini tidak dapat disiapkan mengikut jadual asal iaitu 22 Julai depan kerana kekangan dan halangan ekoran pandemik Covid-19,” tegasnya.

Bagaimanapun katanya, paling utama projek itu dapat disiapkan dan masyarakat mendapat manfaatnya.