
KUCHING: Projek pembinaan sistem perparitan tebatan banjir sepanjang 515 meter bermula di Jalan Masjid hingga ke Sungai Sarawak dijangka siap awal Disember depan.
Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, ia susulan kontrak baharu yang dilantik setakat ini melaksanakan pembinaan dengan sangat baik.
“Kontraktor penyelamat tersebut sudah memulakan kerja-kerja pembinaan di tapak bermula 1 Ogos lalu dan dijangka siap dalam tempoh empat bulan.
“Setakat ini, pihak kontraktor tersebut sudah mendahului jadual sebanyak tujuh peratus. Malah kerja-kerja penurapan jalan akan bermula dalam minggu ini.
“Justeru itu, kita yakin projek ini akan disiapkan mengikut jadual,” katanya ketika ditemui media selepas mengadakan lawatan kerja tapak pembinaan sistem perparitan tebatan banjir di Jalan Masjid, di sini, hari ini.
Menurutnya, projek ini merangkumi Jalan Masjid, Jalan Gartak, Jalan Gartak (Terminal Bas), Jalan Market, Lebuh Java, kolam takungan dan pintu air menuju ke Sungai Sarawak dengan kos keseluruhan hampir RM10 juta.
“Projek di bawah Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) ini ditawarkan kepada kontraktor terdahulu dengan nilai kos kontrak sebanyak RM6.6 juta secara ‘Lump sum’.
“Kontrak ini bermula pada 11 Januari 2018 dan sepatutnya siap pada 12 Januari 2019, tetapi gagal menyiapkan kerja dan telah ditamatkan kontrak pada 20 September 2021.
“Sementara kontraktor baharu dibayar dengan kos sebanyak RM 2,950,000,” jelasnya.
Tegasnya, projek tersebut penting untuk mengatasi masalah banjir kilat di kawasan Padang Merdeka dan sekitarnya.