Projek rakyat disegerakan selepas PKP

SARIKEI: Sekurang-kurangnya lima projek rakyat di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP) akan dilaksanakan dalam kawasan DUN N.42 Semop di bawah kawasan pentadbiran bahagian Sarikei.

Kesemua projek terbabit dianggarkan bernilai RM1.4 juta.

Sehubungan itu, Menteri Muda Hal Ehwal Korporat dan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), Abdullah Saidol berkata, selain projek RTP, terdapat enam lagi cadangan projek baru yang sedang dalam proses penilaian teknikal dan anggaran kos.

“Dalam sesi taklimat sessi taklimat di Pejabat Residen Sarikei dan Pejabat Daerah Meradong, saya juga mengemukakan beberapa cadangan projek baru untuk kawasan Sungai Sian dan Selidap yang melibatkan pembinaan jalan baru,” katanya ketika dihubungi.

Abdullah berkata, beliau bercadang untuk berjumpa dengan Pegawai Daerah Daro bagi tujuan penyelarasan di samping mendapatkan maklumbalas tentang projek pembangunan untuk kawasan N42 Semop di bawah pentadbiran Daerah Daro.

“Saya berharap semua pihak memberikan kerjasama supaya projek yang kita laksanakan nanti berjalan lancar mengikut perancangan.

“Walaupun PKP menyebabkan banyak projek lambat dilaksanakan, saya berharap agensi yang berkaitan seperti JKR, DID dan JBALB melaksanakan tindakan segera ke atas semua projek yang tertunggak,” ujarnya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau yang juga ADUN N.42 Semop menyampaikan sumbangan berjumlah RM10,500.00 kepada tiga pertubuhan .

Sehubungan itu, Jawatankuasa Keselamatan Kampung (JKKK) Sungai Sian menerima RM5,000, Kelab Sukan Payung Terjun Kenyalang Sarikei (RM2,000) dan Jawatankuasa Surau Darul Ihsan Bintangor (RM3,500).

Sejurus selesai program itu, beliau berkesempatan menziarahi beberapa pemimpin kampung.

Hadir sama Residen Bahagian Sarikei, Fecilia Ya Hua, Pegawai Daerah Meradong, Baijuri Bidin dan Jurutera JKR Sarikei, Toh Chee Leong.