ARTIKEL

Gambar BERNAMA

Projek rintis kaji subsidi diesel

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

SEPANG: Projek Rintis Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi 2.0 (SKDS 2.0) bagi Sektor Pengangkutan Darat (Barangan), yang akan berjalan dalam tempoh dua bulan bermula semalam bertujuan menyediakan mekanisme bagi penyasaran semula subsidi diesel yang dijangka dilaksana dalam suku kedua tahun ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali berkata projek rintis SKDS 2.0 itu, yang melibatkan enam syarikat perintis, dapat menguji keberkesanan Sistem MySubsidi Diesel dan juga sistem Fleet Card syarikat-syarikat minyak sebelum dilaksanakan kepada keseluruhan industri.

“Sebelum pelaksanaan penyasaran semula subsidi diesel ini yang tarikhnya akan ditentukan kelak, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) merintis usaha untuk menguji Sistem MySubsidi Diesel.
“Sistem MySubsidi Diesel akan diguna pakai bersama Sistem Fleet Card syarikat-syarikat minyak dalam pelaksanaan penyasaran subsidi kelak,” katanya kepada media selepas membuat tinjauan pelaksanaan Fleet Card Sektor Pengangkutan Darat (Barangan), di sini semalam.

Armizan berkata mekanisme penggunaan Fleet Card itu adalah antara usaha kerajaan untuk beralih daripada Sistem Analog Skid Tank kepada Fleet Card dalam memastikan subsidi secara bersasar dapat dilaksana secara bersepadu selain dapat memastikan kes ketirisan dan penyeludupan pada tahap yang paling minimum.

Baca lain  Anwar Ibrahim kekal pendirian untuk tidak ambil gaji

“Dapatan daripada projek rintis ini amat penting untuk memastikan kita mempunyai mekanisme yang ampuh (untuk pelaksanaan penyasaran semula subsidi diesel) serta untuk kami melihat keberkesanan sistem itu dan mendapatkan maklum balas daripada syarikat minyak, stesen minyak dan syarikat dari Sektor Pengangkutan Darat (Barangan) yang terlibat.

“Supaya apabila dilaksanakan secara menyeluruh pula, ia boleh berjalan dengan lancar, berkesan dan ampuh selepas mengambil kira pandangan daripada semua pihak berkepentingan yang terlibat,” katanya menambah maklum balas yang diterima daripada projek rintis itu, akan dibincangkan dengan Kementerian Kewangan (MoF) sebelum dibentangkan kepada Kabinet.


Armizan berkata KPDN bersedia membuka permohonan kepada syarikat-syarikat dari Sektor Pengangkutan Darat (Barangan) sekiranya pemantauan mendapati Projek Rintis SKDS 2.0 itu berjalan dengan baik dalam tempoh sebulan ini.

Secara keseluruhan, sebanyak 3,792 stesen minyak terlibat dalam Projek Rintis SKDS 2.0 yang boleh digunakan oleh enam syarikat perintis bergantung kepada laluan kenderaan syarikat masing-masing di seluruh Semenanjung Malaysia, katanya.

Beliau berkata buat masa ini projek rintis itu hanya akan dilaksanakan di Semenanjung Malaysia.

Baca lain  Malaysia diiktiraf amat berjaya urus wabak COVID-19 - PM

“Pada 9 Feb ini, saya akan berjumpa dengan agensi penguat kuasa dan kerajaan negeri Sarawak dan kemudiannya ke Sabah untuk kami bincangkan apa kaedah untuk memperkukuh mekanisme kawalan dan penguatkuasaan sedia ada.

“Walaupun (SKDS 2.0) tidak dilaksanakan di Sabah dan Sarawak tetapi hasrat kita adalah untuk kita perkukuhkan supaya aspek ketirisan yang berlaku termasuk penyeludupan ke seberang itu dapat ditangani di sana,” katanya.

Beliau dalam pada itu berkata kerajaan sentiasa komited dalam memastikan keperluan sebenar Sektor Pengangkutan Darat (Barangan), bagi membantu mengurangkan kesan kos pengangkutan agar tiada kenaikan kos berganda khususnya kepada harga barangan selain merangka pelan penyasaran semula subsidi yang cekap dan berkesan kepada semua golongan sasar khususnya di bawah bidang kuasa KPDN. – BERNAMA

BERITA LAIN

BERITA TERBARU

Hina Premier Sarawak, tiga Setiausaha lapor polis

KUCHING: Tiga Setiausaha kepada Premier Sarawak bertindak membuat laporan polis berhubung kes dipercayai menfitnah Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg oleh