Projek rintis tanam sayur

BELADIN: Beberapa projek rintis pertanian cara moden bakal diwujudkan di Beting Maro bagi membuka mata masyarakat tentang kaedah baharu bidang tersebut. Adun Beting Maro Razaili Gapor memberitahu, masyarakat khususkan kumpulan petani perlu berubah mengikut peredaran zaman dan kehendak semasa.

“Sebab itu, saya merancang untuk mengatur projek rintis supaya masyarakat dapat belajar. “Insya-Allah tahun ini saya akan membuka pusat rintis tanaman sayur secara fertigasi dan mewujudkan pusat pembekalan anakanak benih buah-buahan, sayursayuran dan bunga-bungaan di Beladin.

“Sekiranya rancangan ini sudah berjalan kelak, tiada alasan untuk mengatakan ‘sik pande’ dan yang penting kemahuan kita sendiri untuk belajar demi menguasai sesuatu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Ramah-Tamah Aidilfitri Peringkat Kampung Beladin di Dewan Masyarakat, malam semalam.

Jelasnya, kaedah pertanian moden yang giat dibangunkan di Sarawak kini tidak memerlukan tanah yang besar.

Beliau mengharapkan agar petani termasuk golongan muda dapat mengambil peluang terlibat sama dalam bidang pertanian moden.

“Kerajaan Sarawak menyasarkan negeri ini bakal menjadi pengeluar makanan dan usaha yang kita rancang sebagai sokongan dalam menampung keperluan yang akan meningkat pada masa hadapan.

“Walaupun Beladin sudah membuka tanah seluas-luasnya untuk tanaman nanas dan sudah mengeluarkan hasil, tetapi hasilnya masih tidak mencukupi.

“Saya harap dengan perancangan yang rapi, Beting Maro dapat menjadi salah satu pengeluar makanan yang ada di negeri ini,” ujarnya.

Menyentuh isu pembangunan, Razaili memaklumkan beberapa projek akan dilaksanakan pada tahun ini.

Antaranya, pembinaan kemudahan arena sukan (RM1.1 juta), pusat komuniti dan penginapan (RM1.5 juta), medan selera dan pusat penjaja (RM1.8 juta) serta naik taraf kawasan rekreasi (padang) di tebingan sungai.

Sementara itu, sebanyak 68 buah rumah mampu milik hampir siap untuk golongan nelayan, manakala 210 unit lagi belum dibina.

Katanya, semua projek yang dirancang ialah usaha menyokong aktiviti penduduk. Pada majlis yang sama, beliau menyampaikan sumbagan kepada 28 pelajar serta 10 bakal haji.

Suara Sarawak