ARTIKEL

DIUTAMAKAN… Dr Sim (kanan) menunjukkan lakaran projek tebatan banjir berkeutamaan tinggi ketika melawat mangsa banjir di PPS Dewan Masyarakat Stapok dan Kampung Sinar Budi Baru semalam.

Projek tebatan banjir dengan sungai buatan lapan km perlu disegerakan

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

KUCHING: Projek tebatan banjir berkeutamaan tinggi yang melibatkan pembinaan sungai buatan sepanjang lapan kilometer (km) perlu segera dilaksanakan bagi mengatasi sepenuhnya masalah banjir kilat yang sering melanda Bahagian Kuching. 

Menurut Timbalan Premier, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, projek yang dibiayai oleh Kerajaan Persekutuan itu memerlukan peruntukan sekitar RM1.8 bilion dan tempoh tiga ke empat tahun untuk dilaksanakan. 

“Untuk kita mengatasi sepenuhnya isu banjir kilat di Kuching, amat penting untuk projek ini segera dilaksanakan kerana sungai yang ada tidak mampu menampung taburan air hujan tinggi sehingga menyebabkan limpahan air. 

“Justeru, Sarawak sangat berharap Menteri Peralihan Tenaga dan Daya Guna Awam, Datuk Seri Fadillah Yusof, memainkan peranannya dalam hal ini kerana projek tersebut juga merangkumi kawasan di Parlimen Petra Jaya.

“Ini kerana ia terletak di bawah kementerian Ahli Parlimen Petra Jaya itu dan saya yakin beliau dapat memastikan projek tersebut dilaksanakan dengan jayanya selepas ini,” katanya.

ADUN Batu Kawa itu berkata demikian ketika ditemui Suara Sarawak selepas melawat mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Masyarakat Stapok dan Kampung Sinar Budi Baru, di sini, semalam. 

Baca lain  Ringgit dijangka sekitar paras 4.69-4.70 minggu ini

Mengulas lanjut, Dr Sim berkata projek tersebut sebenarnya sudah mula dilaksanakan sejak lebih 10 tahun lalu dengan dua fasa pertama sudah siap pada Mac 2010 melibatkan pembinaan laluan sungai tiruan sepanjang dua km.

“Dan fasa seterusnya sepatutnya bermula pada tahun 2018, namun disebabkan berlaku pertukaran kerajaan semua projek rakyat ini telah dibatalkan kerana ini adalah di bawah pembiayaan Persekutuan.

“Sehubungan itu, kita amat memerlukan projek melibatkan pembinaan laluan sungai sepanjang enam km serta sebuah sungai buatan yang dalam, luas dan besar. 

“Lokasinya adalah antara kawasan Matang, Malihah dan Batu Kawa. Sungai buatan ini kelak akan terus mengalir ke Laut China Selatan kerana sungai sedia ada tidak mampu menampung taburan air hujan yang tinggi,” jelasnya. 

Sementara itu, Fadillah pada awal Februari lalu memberitahu projek tebatan banjir di Sarawak khususnya Bahagian Kuching kini dalam proses tender pada tahun ini.

Namun ujarnya, oa dilaksanakan secara berperingkat dan bergantung kepada jumlah peruntukan yang diterima untuk pelaksanaan.

Baca lain  Rakyat Sarawak sebagai pemacu negeri ke arah kemakmuran

Antara fokus utama di Kuching adalah untuk membina terusan yang akan mengalirkan air dari Sungai Sarawak ke kawasan Salak.
 
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada pembentangan Bajet 2024 memberitahu, Kerajaan Persekutuan memperuntukkan RM11.8 bilion untuk membiayai sebanyak 33 projek tebatan banjir berimpak tinggi jangka panjang, termasuk Rancangan Tebatan Banjir (RBT) Kuching Fasa Dua.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU