Projek tebatan banjir diteruskan

SIBU: Pelaksanaan fasa kedua projek tebatan banjir akan dapat menyelesaikan masalah banjir di Kampung Jeriah di sini, jelas Menteri Muda Perumahan dan Kesihatan Awam Dr Annuar Rapa’ee.

Beliau menjelaskan, projek fasa kedua bermula 9 Januari lalu dan dijadual siap pada 7 Januari 2021 itu meliputi Lorong Kampung Jeriah Utara 2, Lorong Kampung Jeriah Barat 1, 3 dan 5.

Menurutnya, fasa kedua merangkumi penambahbaikan jalan atau longkang, penurapan jalan sepanjang 1.52 kilometer selain penambahbaikan saliran.

“Jalan juga akan ditinggikan. Sudah tentu beberapa jalan kecil akan dibina untuk menghubungkan rumah seperti pada fasa pertama.

“Selesai sahaja projek tebatan banjir ini kelak, ia akan dapat menangani masalah banjir di hampir semua kawasan di kampung ini.

“Sekali gus akan mewujudkan persekitaran yang lebih kondusif di kampung ini,” katanya selepas meninjau projek tersebut di sini, semalam.

Annuar juga Menteri Muda Pendidikan dan Penyelidikan Teknologi berkata, projek untuk fasa pertama siap pada 30 November tahun lepas.

“Saya gembira dengan kerja-kerja untuk fasa pertama walaupun terdapat kawasan untuk penambahbaikan.

“Malah kami tidak menerima sebarang aduan tentang banjir daripada penduduk kampung pada tahun ini,” katanya.

Suara Sarawak