Projek Tebingan Sungai Limbang lancar

LIMBANG: Ahli Parlimen Limbang Hasbi Habibollah melakukan lawatan projek menaik taraf Tebingan Sungai Limbang Fasa Satu, semalam.

Lawatan berkenaan dilakukan setelah mendapat laporan berlakunya sedikit kelewatan pelaksanaan projek di samping ingin mengetahui perkembangan terkini.

Setelah melakukan lawatan, beliau mendapati kelewatan tersebut disebabkan masalah kecil dan tidak diuar-uarkan.

“Saya melakukan lawatan semalam bagi mengetahui sendiri masalah sebenar mengenai projek
ini.

“Namun setelah meneliti masalah terbabit, ia hanya satu masalah kecil melibatkan ketidaktentuan cuaca.

Projek ini dapat diselesaikan dengan mudah oleh pihak kontraktor,” katanya.

Hasbi berkata lagi, kerja pembinaan berjalan dengan lancar di tapak pembinaan berkenaan.

“Di tapak pembinaan, saya dapati pembinaan sedang rancak dilakukan oleh para pekerja binaan.

“Difahamkan, setakat ini perkembangan pembinaan fasa satu tinggal 23.57 peratus setakat ini,” katanya.

Jelas beliau, pihak kontraktor berjanji untuk menyiapkan beberapa komponen utama projek dalam masa tiga bulan.

“Jika momentum ini berterusan, saya percaya projek pembinaan Tebingan Sungai untuk fasa satu dapat disiapkan dalam tahun ini,”tegasnya.

Hasbi menambah, beliau percaya dengan kemampuan serta pengalaman kontraktor berkenaan yang sudah membina banyak projek mega di Sarawak.

Suara Sarawak