Trending

Projek tukun bebola Sarawak terima pengiktirafan Yayasan Tukun Bebola USA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
E-mel

KUCHING: Sarawak hari ini menerima pengiktirafan daripada Yayasan Tukun Bebola USA di atas kejayaan melaksanakan projek tukun bebola terpanjang di dunia iaitu sepanjang 746 kilometer.

Pengiktirafan itu sebagai bukti kepada kepimpinan berwawasan Kerajaan Sarawak di bawah Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan komitmen tinggi terhadap amalan mampan serta perlindungan kepelbagaian biologi marin Sarawak.

Sijil dan plak pengiktirafan itu disampaikan oleh Pengerusi Yayasan Tukun Bebola USA, Todd Ryan Barber kepada Setiausaha Tetap Kementerian Sumber Asli dan Pembangunan Bandar Datu Zaidi Mahdi, yang menerima pada bagi pihak Kerajaan Sarawak di Wisma Bapa Malaysia, di sini dengan turut disaksikan oleh Abang Johari.

Hadir sama Timbalan Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar Datuk Len Talif Salleh, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) Zolkipli Mohamad Aton, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif I SFC Abang Arabi Abang Aimran, Ketua Bahagian Penyelidikan dan Pemuliharaan Fauna (Marin) SFC James Bali, Ketua Pegawai Eksekutif Pembinaan Tukun Tiruan (Sarawak) Sdn Bhd Wilson Mapus, dan Presiden Reef Innovations Inc Larry D Beggs.

SFC menerusi satu kenyataan berkata Projek Tukun Bebola Sarawak memberi contoh pendekatan proaktif negeri ini terhadap usaha pemuliharaan marin dan pembangunan mampan, sejajar dengan visi jangka panjang kerajaan negeri yang digariskan dalam Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 (PCDS) 2030.

Sebagai agensi pelaksana, ia telah memainkan peranan penting dalam menerajui inisiatif untuk memelihara hidupan marin dan menguruskan ekosistem marin Sarawak secara bertanggungjawab.

Menurutnya di bawah fasa pertama Projek Tukun Bebola Sarawak, sejumlah 16,800 tukun bebola diturunkan di sepanjang perairan negeri ini dari 2018 hingga 2022 iaitu sepanjang 746km.

“Sebanyak 23,500 tukun bebola telah ditempatkan di perairan Sarawak dari 1998 hingga 2022,” katanya.

Justeru, SFC menyifatkan sokongan kerajaan dan kepimpinan berwawasan Premier telah memainkan peranan penting dalam membolehkan SFC berjaya melaksanakan projek seperti Projek Tukun Bebola Sarawak, yang kini telah menetapkan penanda aras global sebagai projek tukun tiruan terpanjang.

Peruntukan RM70 juta untuk Projek Rakyat Fasa 1, bersama tambahan RM30 juta untuk Fasa 2 (2023-2027) menggariskan lagi dedikasi kerajaan dalam usaha berkenaan.

Objektif projek itu adalah untuk meningkatkan sumber perikanan, menawarkan peluang dalam eko-pelancongan berasaskan marin seperti selaman skuba dan sukan memancing, serta membangunkan projek perintis marikultur karang sebagai peluang ekonomi baharu yang berpotensi di Sarawak.

Suka artikel:

e-Akhbar Suara Sarawak

Berita Berkaitan

E-Paper

22 September 2023

Berita Terbaru