KUCHING: Proses mengundi Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-12 di 1,866 pusat mengundi berjalan dengan lancar.
Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Aidi Ismail ketika dihubungi berkata, situasi di semua pusat mengundi di seluruh negeri berlangsung dengan terkawal dan tenang.
“Setakat jam 12 tengah hari, proses pengundian berjalan dengan lancar,” katanya.
Semalam, dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak, Aidi berkata, seramai 7,434 pegawai dan anggota bersedia bertugas mengawal keselamatan di semua pusat mengundi di seluruh negeri.
Katanya, IPK Sarawak turut dibantu seramai 3,152 orang dari Sukarelawan Simpanan Polis Diraja Malaysia (SSPDRM) dan Polis Bantuan Lembaga Pembangunan Bintulu (BDA) serta anggota dari Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela).
Aidi berkata, polis turut menubuhkan sebanyak 47 pasukan Op Cantas dari Jabatan Siasatan Jenayah yang di tempatkan di setiap daerah di Sarawak.
“Polis turut menubuhkan107 pasukan pemantau prosedur operasi standard (SOP) dan juga pematuhan kepada Akta Kesalahan Pilihan Raya di seluruh daerah di Sarawak.
“Empat pasukan pemantau udara dari Pasukan Gerakan Udara Polis Diraja Malaysia (PRU) akan menggunakan helikopter dan dron untuk membuat pemantauan keselamatan dan SOP melalui udara,” katanya.
Tambahnya, sebanyak 47 Unit Pasukan Light Strike Force (LSF) dan empat pasukan Public Order And Riot Unit (PORU) serta pasukan polis lain seperti pasukan pencegahan jenayah daerah turut bersiap sedia untuk PRN-12.