Proses pembelajaran guna WhatsApp

MUKAH: Penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) merupakan tempoh mencabar bagi guru di luar bandar dan pedalaman.

Mereka juga perlu meneruskan sesi pembelajaran dari rumah. Simon Joll, 36, guru yang mengajar di pedalaman berkata, dia menggunakan media sosial untuk berkongsi maklumat berkaitan pembelajaran dengan ibu bapa, terutama melalui kumpulan WhatsApp PIBG sekolah.

“Bagi ibu bapa yang melanggan Internet, mereka akan memberi respons kepada kita.

Seterusnya mereka akan kongsikan maklumat tersebut kepada ibu bapa yang tidak mempunyai kemudahan Internet dan telefon pintar,” katanya ketika dihubungi Suara Sarawak.

Namun jelasnya, ada pelajar yang tidak tinggal bersama-sama ibu bapa, sebaliknya tinggal dengan datuk dan nenek sejak kecil di kawasan pedalaman.

“Kami (guru) sentiasa memberi nasihat kepada ibu bapa agar melakukan yang terbaik demi anak mereka.

“Ada juga guru yang sanggup membeli buku untuk pelajar mereka.

Sebelum PKP bermula, saya telah mengedarkan tugasan kepada murid yang tidak mempunyai kemudahan Internet. Sedikit sebanyak membantu mereka di rumah,” katanya.

Beliau berharap ibu bapa dapat memberikan kerjasama dalam tempoh PKP dengan memantau anakanak agar dapat belajar sendiri di rumah menggunakan apa-apa kaedah yang dikongsikan oleh guru melalui WhatsApp.

Sementara itu, guru sekolah di Balingian, Fabbian Philip, 37, berkata, kerjasama ibu bapa dalam proses pembelajaran di rumah dapat diteruskan dengan mencetak tugasan kepada pelajar yang tidak mempunyai kemudahan Internet.

“Saya akan minta ibu bapa mengambil tugasan daripada saya.

“Walaupun jumlah yang tidak melanggan talian Internet tidak ramai, namun sekiranya keadaan tidak mengizinkan, cukup sekadar saya menghubungi dan meminta pelajar ulang kaji pembelajaran terdahulu.

Ia sudah memadai. “Tidak perlu untuk pembelajaran ke hadapan kerana kini keadaan dianggap bencana.

Cukup untuk mereka mengulang kaji mata pelajaran sebelum ini. Itu asas penting, dan kalau mereka ada kemudahan, itu satu bonus,” tambahnya.

Menurut Annastasia Qucuelyna Raubi, 27, guru di Mukah pula, beliau faham ada pelajar yang tidak mempunyai telefon pintar dan melanggan talian Internet).

Pun demikian beliau akan menghantar mesej pesanan ringkas (SMS) dan meminta pelajar merujuk buku dan membuat latihan di rumah.

“Saya juga menggalakkan dan menyarankan pelajar yang tidak mempunyai rangkaian Internet di rumah agar menonton siaran TV Pendidikan menerusi saluran RTM dan TV Okay.

“Kadang-kadang saya hantar rakaman suara saya melalui aplikasi WhatsApp kepada pelajar.

“Ini bagi memastikan mereka faham akan apa-apa yang dipelajari dari rumah,” katanya.

Suara Sarawak