Proses pengesanan aktif dapat kerjasama, semua patuhi SOP, terima kasih!

SIBU: Pengerusi Majlis Perbandaran Sibu (MPS) Kaunselor Clarence Ting Ing Horh memberitahu pengesanan kes secara aktif (ACD) Covid-19 membabitkan Zon 28 Permai, Zon 29 Jeriah dan Zon 15 Sentosa yang masing-masing masuk hari kedua hari ini (Selasa) mendapat sambutan yang amat memberangsangkan.

Melalui maklumat yang diterimanya, kehadiran bagi Zon 28 Permai dan Zon 29 Jeriah yang diadakan di Taman Tasik Permai manakala Zon 15 Sentosa di Taman Rimba Bukit Lima telah mencatatkan lebih daripada 500 pengunjung.

“Kedua-dua venue tersebut menjadi tumpuan sebelum jam 10 pagi lagi. Orang ramai sudah pun hadir sebelum jam tersebut dan beratur panjang.

“Pihak petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah membuka beberapa kaunter yang memudahkan lagi orang ramai menjalani ujian calitan.

“Di hari kedua, kedua-dua venue mendapat sambutan memandangkan hari ini adalah hari terakhir ACD dijalankan di ketiga-tiga zon tersebut di dua venue,” tegas beliau.

Pengesanan aktif di Taman Tasik Permai.

Terdahulu, Ting turut mengadakan tinjauan ke kedua-dua venue bagi memastikan orang ramai yang hadir mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

Jelas beliau, petugas barisan hadapan yang terdiri daripada anggota polis, tentera dan rela turut melancarkan lagi pengawasan SOP di kedua-dua venue.

Ditanya adakah pengesanan membabitkan kawasan pentadbiran MPS yang lain akan turut diadakan selepas ini, Ting berkata, ia bergantung kepada arahan dari pihak Pejabat Kesihatan Bahagian Sibu ataupun Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Sibu (JPBBS).

“Setakat ini saya belum tahu lagi perkembangannya, mungkin petang nanti atau esok pihak kita akan dimaklumkan mengenainya.

TING ketika meninjau proses ACD di Taman Tasik Permai.

“Kita berharap semuanya baik-baik sahaja moga semua penduduk Sibu dilindungi,” ujarnya.

Sementara itu, beliau memuji warga Sibu yang bersungguh-sungguh mahu memutuskan rantaian jangkitan wabak.

Tinjauan di kedua-dua lokasi tersebut pada hari terakhirnya hari ini (Selasa) orang ramai kelihatan mematuhi SOP dan mendengar setiap arahan yang dikeluarkan oleh pihak polis, askar, rela dan petugas hadapan yang lain ketika berbaris.

Ini melancarkan lagi ACD yang dijalankan.

Difahamkan orang ramai sudah mula berbaris dan datang sebelum jam 8 pagi lagi.

Untuk rekod, selain ujian percuma yang dibiayai kerajaan ini, orang ramai boleh menjalani ujian di klinik swasta dengan bayaran antara RM180 hingga RM350 bergantung kaedah ujian dan masa keputusan diketahui.

PROSES ACD di Taman Rimba Bukit Lima.

Suara Sarawak