PRS yakin pertahankan semua kerusi

KUCHING: Parti Rakyat Sarawak (PRS) yakin dapat mempertahan semua kerusi yang ditandingi dalam pilihan raya akan datang.

Presidennya Tan Sri Dr James Jemut Masing (gambar) berkata, semua penyandang sama ada bagi Dewan Undangan Negeri (Dun) atau Parlimen akan mempertahan kerusi mereka.

Namun, katanya muka baharu akan ditampilkan bagi kerusi yang calon PRS tewas kepada pembangkang dalam pilihan raya lalu.

“PRS yakin mampu mengekalkan semua kerusi. PRS harus mampu mengekalkan semua kerusi,” jelasnya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi PRS di ibu pejabat parti, Sabtu.

Beliau menegaskan PRS akan bertanding di semua kerusi negeri dan parlimen yang secara tradisi ditandingi parti itu.

Bagi kerusi Dun pada 2016, PRS bertanding di 11 kerusi iaitu Baleh, Murum, Belaga, Pelagus, Ngemah, Kakus, Tamin, Samalaju, Batang Ai, Balai Ringin dan Bukit Begunan.

Manakala dalam PRU-14, PRS bertanding di enam kerusi parlimen iaitu Hulu Rajang, Kanowit, Lubok Antu, Julau, Selangau dan Sri Aman, namun kalah di tiga kerusi, iaitu Julau, Selangau dan Lubok Antu. Menurut Masing, kemungkinan pilihan raya tahun ini akan diadakan secara serentak. “

Semua ahli kita melalui mesyuarat hari ini bersetuju untuk diadakan PRN ini bersama dengan Pilihan Raya Parlimen nanti,” katanya.