KUCHING: Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah optimis Gabungan Parti Sarawak (GPS) mampu merampas kerusi Parlimen Selangau, Puncak Borneo, Lubok Antu dan Saratok dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 akan datang.
Beliau berkata kemenangan ke atas kerusi-kerusi Bumiputera yang ditakluki pembangkang itu tidak mustahil untuk dicapai bersandarkan rekod pentadbiran GPS selain kemenangan besar GPS pada Pilihan Raya Negeri Ke-12 yang lalu.
“Kita (GPS) seharusnya boleh menang khususnya di Puncak Borneo dan Lubok Antu,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan pelepasan Siri Jelajah D’Drift Dayak Daily 2022 di sini, hari ini.
Sementara, Karim berharap GPS dapat menyapu kesemua 31 kerusi Parlimen pada PRU-15 atau memenangi sekurang-kurangnya 28 kerusi.
“Saya akan kecewa jika kita mendapat kurang daripada 28 kerusi,” katanya.
Justeru, beliau berharap agar rakyat Sarawak akan mengikuti momentum seperti mana pada PRN-12 yang lalu, dengan bersatu dalam perjuangan GPS untuk mengembalikan semula serta menegakkan hak Sarawak.
Pada PRU-14, di sebalik kedudukan sebagai ‘kuasa penentu’, Barisan Nasional (BN) Sarawak ketika itu (kini GPS) hanya sekadar selesa dengan memenangi 19 kerusi.
Ia menyaksikan parti itu tewas di enam kerusi dikuasainya pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13), masing-masing di Mas Gading, Puncak Borneo, Lubok Antu, Saratok, Julau dan Selangau.
Namun, ia disifatkan sebagai keputusan amat mengejutkan kerana BN Sarawak sebelum ini menyatakan keyakinan mampu menyumbang sekurang-kurangnya 28 hingga 29 kerusi.
Bagaimanapun, misi menawan semula ‘kerusi bonus’ berkenaan, yang digalas Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) gagal apabila keempat-empatnya terus dikuasai DAP dan PKR.
Namun, di sebalik pencapaian kurang memberangsangkan itu, Sarawak kekal menjadi ‘negeri penyelamat’ BN apabila tetap mengekalkan penguasaan 19 daripada keseluruhan 31 kerusi dipertandingkan.
Keputusan turut menyaksikan Presiden SUPP, Datuk Seri Dr Sim Kui Hian yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan ketika itu tumbang di Stampin, menyaksikan kemenangan besar Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen.
Selain mengekalkan penguasaan empat kerusi iaitu Bandar Kuching, Lanang, Sibu dan Sarikei, DAP turut menawan kawasan majoriti Bumiputera pertama mereka, Mas Gading.
Ia apabila penyandang yang juga Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani pada masa itu, Datuk Anthony Nogeh Ngumbek, kecundang kepada Mordi Bimol.
Sementara itu, PKR, yang pada PRU-13 hanya memenangi satu kerusi di Miri, menambah tiga lagi kerusi dalam PRU-14.
Selain mengekalkan penguasaan di Miri melalui calonnya, Dr Michael Teo, PKR turut menang di Puncak Borneo (Willie Mongin) yang merupakan kubu kuat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Saratok (Ali Biju), Selangau (Baru Bian).
Malah, keputusan pilihan raya kali ini cukup mengejutkan calon ‘underdog’ yang bertanding atas tiket Bebas, Jugah Muyang, apabila berjaya memenangi kerusi Lubok Antu dalam pertembungan tiga penjuru dengan Robert Pasang Alam (BN) dan Nicholas Bawin (PKR).
Lebih mengejutkan apabila kerusi itu dikuasai BN sejak sekian lama melalui parti komponennya, Parti Rakyat Sarawak (PRS).
Seperti dijangka, Larry Sng Wei Shien yang bertanding atas tiket Bebas berjaya ‘menundukkan’ penyandang kerusi itu, Datuk Joseph Salang Gandum (BN).