
KUCHING: Parti Aspirasi Rakyat Sarawak (ASPIRASI) mengesahkan akan bertanding di empat kerusi pada Pilihan Raya Umum (Pru-15) yang akan datang.
Perkara itu diumumkan presidennya, Lina Soo yang turut memberitahu, tiga daripada kerusi yang dipertaruhkan ini merupakan kerusi bidayuh.
“Kita menyasarkan hanya empat kerusi iaitu satu di kawasan bandar (Bandar Kuching) dan tiga lagi di kawasan luar bandar iaitu Serian, Puncak Borneo dan Mas Gading.
“Sememangnya asal usul Aspirasi adalah di selatan Sarawak. Jadi di sinilah ( kawasan) kami berdiri untuk Pru-15 nanti,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.
Bagaimanapun katanya, senarai penuh calon itu sedang diperinci dan dijangka diumumkan oleh parti terbabit dalam masa terdekat.
“Kami telah mengenal pasti calon-calon yang berpotensi untuk keempat-empat kerusi ini, namun ia belum dapat diumumkan kerana kami masih melakukan kajian di peringkat akar umbi,” tambahnya.
Bagi Pru kali ini juga kata Lina, Aspirasi telah memperkenalkan satu slogan baharu dalam bahasa Bidayuh iaitu ‘Parti AdupTa’ yang bermaksud parti kita sendiri.
Katanya, slogan ini akan menjadi cogan kata bagi Aspirasi berkempen pada Pru-15 kali ini.
ASPIRASI sebelum ini adalah Parti Reformasi Negeri (STAR) yang ditubuhkan pada 9 Oktober 1996 oleh mendiang Dr Patau Rubis.