KUCHING: Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg tetap dengan pendirian Gabungan Parti Sarawak (GPS) untuk kekal bertanding di semua 31 kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.
Keputusan itu dinyatakan Pengerusi GPS ketika ditanya mengenai kenyataan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Tan Sri Muhyiddin Yassin yang memohon GPS mempertimbangkan satu kerusi untuk parti itu di Sarawak.
“Bila tiba masa kita akan lihat.. namun saya sudah maklumkan sebelum ini, kita (GPS) akan tetap mengisi kesemua 31 kerusi Parlimen pada PRU-15,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat PraPersidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) GPS di Ibu Pejabat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di sini, hari ini.
GPS terdiri daripada Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP).
Pada pilihan raya umum (PRU) lalu, PBB memenangi 13 kerusi Parlimen, SUPP (satu), PRS (tiga) dan PDP (dua) manakala kerusi Parlimen Saratok dan Puncak Borneo kini disandang oleh BERSATU Sarawak.
Sementara itu, Ketua Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak Fazzrudin Abdul Rahman dalam kenyataan hari ini turut menegaskan bahawa GPS tetap dengan pendiriannya untuk tidak memberikan sebarang kerusi kepada Bersatu pada PRU akan datang.
Katanya, dengan GPS bertanding dan memenangi kerusi parlimen, ia akan dapat memastikan Sarawak menuntut semula dan melindungi hak Sarawak diteruskan pada masa hadapan.
“Sekali gus mampu memastikan kestabilan politik kepada negara sama seperti apa yang GPS bantu capai dalam krisis politik 2020 bagi memastikan kemakmuran rakyat,” tambahnya.
Fazzrudin juga mendedahkan bahawa rakyat sudah terlalu lama berada dalam kemelut politik dan ketidakstabilan yang secara tidak langsung akan melembapkan kedua-dua pembangunan ekonomi dan tadbir urus negara.
“Jika Sarawak makmur, saya percaya negara juga akan maju. Apa yang penting sekarang ialah kepentingan Sarawak dan kepentingan negara akan kekal menjadi keutamaan,” katanya.
