
KUCHING: Parti Bangsa Malaysia (PBM) mengesahkan tidak meletakkan calon di Sarawak pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Kenyataan bakal Presiden PBM, Datuk Zuraida Kamaruddin itu sekali gus memberi bayangan Ahli Parlimen Julau yang juga Presiden PBM, Datuk Larry Sng Wei Shien dijangka tidak akan bertanding pada PRU yang akan datang itu.
Zuraida yang juga Ahli Parlimen Ampang turut menegaskan, PBM tidak akan meletakkan calon di Sarawak berikutan ketiadaan Barisan Nasional(BN) di negeri ini.
“Tidak…Kita tidak akan berbuat demikian kerana sudah saya katakan tadi di sini (Sarawak) tidak ada BN,” katanya ketika ditanya pemberita sama ada calon PBM akan bertanding di Sarawak pada PRU-15 nanti.
Beliau ditemui pemberita selepas mersamikan Majlis Pelancaran semula Syarikat SaraSpice di ibu pejabat SaraSpice di Icom Square, di sini, hari ini.
Mengulas mengenai perkembangan permohonan PBM untuk menyertai BN, Zuraida memberitahu permohonan tersebut masih menunggu kelulusan.
Terdahulu pada Julai lalu, PBM mengemukakan permohonan menyertai BN bagi membentuk sebuah gabungan untuk menghadapi PRU-15.
Larry memenangi kerusi Parlimen Julau ketika bertanding sebagai calon Bebas pada PRU-14. Sejurus memenangi kerusi itu, beliau kemudian menyertai PKR pada 2018 dan dilantik sebagai Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri pada 2020.
Beliau kemudiannya meletak jawatan dan keluar daripada PKR pada 28 Februari 2021 dan menjadi Ahli Parlimen Bebas yang menyokong Perdana Menteri ketika itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.