KUCHING: Polis Sarawak menerima enam laporan dan membuka tiga kertas siasatan berkaitan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) pada semalam.
Jurucakap Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Superintendan Douglas Nyeging Taong berkata, satu kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 24B(3)(b) Akta Pilihan Raya 1954 berhubung ceramah kempen tanpa permit membabit Parti Tindakan Demokratik (DAP) di hadapan kedai makan di Sarikei.
Katanya, polis menerima laporan tersebut pada jam 8.11 malam daripada Ketua Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya (PP-KPR) yang membuat pemantauan di kawasan Jakar, Sarikei.
“Sementara, seorang pegawai polis melaporkan telah menangkap seorang suspek lelaki berumur 72 tahun di rumah panjang Sungai Tubau kerana disyaki membakar bendera dan poster sebuah parti politik.
“Bendera dan poster tersebut telah dibakar oleh saspek yg dikenali oleh pengadu yang membuat laporan pada 12 November dan kes disiasat di bawah Seksyen 436 Kanun Keseksaan/Seksyen 4(A)(1) Akta Pilihan Raya 1954,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Selain itu katanya, polis telah membuka kertas siasatan berhubung satu laporan berita bertajuk ‘dont allow Dayak to rule the state, Sarawak CM reminds voters’ yang dilaporkan oleh Bernama.
Beliau berkata, laporan itu dibuat oleh seorang lelaki pada semalam kira-kira jam 5.30 petang semasa di Terminal Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) yang menerima laporan berita tersebut daripada Whatsapp yang dihantar rakannya.
“Kes disiasat di bawah seksyen 500 kk/233 Akta Komunikasi Multimedia Malaysia,” jelasnya.
Dalam pada itu Douglas berkata, polis Sarawak telah meluluskan sebanyak 265 permit ceramah dan kempen kepada parti-parti politik di seluruh negeri.
Tamat