KUCHING: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan satu mesyuarat khas pada jam 10 pagi, 20 Oktober nanti di Menara SPR, Putrajaya bagi membincangkan dan menentukan tarikh-tarikh penting Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dan Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Bugaya, Sabah.
Setiausaha SPR Dato Indera Ikmalrudin Ishak berkata mesyuarat khas tersebut akan dipengerusikan oleh Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh.
“Mesyuarat akan membincangkan tarikh-tarikh penting PRU-15 dan PRK DUN Bugaya, seperti tarikh writ pilihan raya, hari penamaan calon, hari pengundian, daftar pemilih yang akan digunakan dan lain-lain persiapan bagi melaksanakan kedua-dua pilihan raya tersebut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Katanya satu sidang media akan diadakan sejurus selepas mesyuarat tersebut.