KUCHING: Jabatan Meteorologi Malaysia meramalkan cuaca pada hari membuang undi esok dijangka baik pada sebelah pagi di seluruh negara.
Menurut Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia Sarawak Khairul Najib Ibrahim, majoriti kawasan di negeri ini mengalami cuaca baik pada sebelah pagi kecuali di beberapa kawasan.
Katanya, hanya kawasan berdekatan pantai seperti Mukah dan Bintulu dijangka sedikit hujan namun tidak signifikan.
“Cuma yang dirisau kawasan-kawasan seperti Miri, Limbang dan sebahagian Kapit susulan kita telah mengeluarkan amaran peringkat kuning iaitu peringkat pertama sejak semalam dan berakhir pada hari ini, lewat malam.
“Pada keeesokkan hari, pada waktu pagi cuaca baik, mungkin ada berawan, mendung-mendung sedikit tetapi kita menjangka tiada signifikan pada sebelah pagi. Cuma pada sebelah petang dijangka sedikit hujan,” katanya dalam satu temu bual dalam Sejahtera Asia di TVS, hari ini.
Justeru beliau berkata, pengundi disarankan untuk keluar awal untuk mengundi pada sebelah pagi.
Jelasnya, ia merupakan langkah yang terbaik kerana boleh mengelakkan cuaca yang buruk pada sebelah petang.