PSB masih di awangan, tiada tempat dalam GPS

KUCHING: Parti Sarawak Bersatu (PSB) tiada tempat dalam GPS dan ia adalah keputusan sebulat suara parti, tegas Presiden PRS Tan Sri Dr James Jemut Masing.

Menurutnya, GPS tidak menyediakan tempat kepada pihak yang cuba memporak-perandakan parti berkenaan.

“GPS bukan hanya organisasi politik. Ia juga bertanggungjawab melindungi hak-hak Sarawak, dan saya memberi amaran kepada pihak luar tanpa mengira kedudukan anda, anda tidak mempunyai tempat dalam GPS, termasuk PSB,” ujarnya.

Menurut James Masing, komponen GPS iaitu SUPP, PDP dan PRS sendiri telah berbincang, seterusnya sepakat tidak akan menerima PSB dalam GPS.

Beliau menambah, PSB sendiri, malah sehingga hari ini tidak pernah menghantar permohonan untuk menyertai GPS.

“Apabila mereka tidak menghantar surat permohonan, saya berpendapat mereka tidak berminat menyertai kita dan pada masa sama, kenapa kita pula yang perlu menerima mereka,” katanya ketika ditemui di Dun Sarawak, semalam.

Mengulas sama ada jawatan berstatus menteri yang dipegang Datuk Seri Dr. Wong Soon Koh yang merupakan Presiden PSB wajar ditarik balik, Masing menyerahkan kepada Ketua Menteri untuk membuat keputusan.

“PRS, SUPP dan PDP dalam fikiran yang sama bahawa PSB tiada tempat dalam organisasi GPS,” tegasnya sambil memberitahu laporan bahawa PSB mendaftar ramai ahli baharu dalam tempoh singkat sukar dipercayai.

Timbalan Ketua Menteri itu menambah, beliau yakin Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg akan membuat pengumuman selepas meneliti isu berkenaan secara terperinci.

“Saya berharap, keputusan dibuat secepat mungkin kerana lebih baik kita melawan orang yang kita kenal daripada melawan musuh yang tidak dikenali,” katanya.

Suara Sarawak