PSB perlu belajar ilmu undang-undang

KUCHING: Parti Sarawak Bersatu (PSB) jelas kekurangan ilmu mengenai undang-undang kerana sepatutnya tahu bahawa Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-12 perlu diadakan mengikut perlembagaan, kata Datuk Idris Buang.

Ketua Penerangan Parti PBB itu berkata demikian bagi mengulas kenyataaan PSB yang mendakwa GPS membuat keputusan tergesa-gesa bersifat bodoh kerana mengadakan PRN ketika krisis Covid-19 semakin buruk.

“PSB sepatutnya cukup bijak dan memahami undang-undang. Sama ada mereka suka atau tidak, tempoh Dun Sarawak akan berakhir tahun depan.

“Justeru, kerajaan perlu mengembalikan mandat kepada rakyat untuk memilih kerajaan,” katanya kepada New Sarawak Tribune semalam.

Ujarnya, masalah PSB ialah terlalu cepat menuduh GPS sebagai bodoh, sedangkan mereka lupa bahawa GPS sangat bertanggungjawab dan profesional menangani pandemik Covid-19.

“Tidak akan berperlembagaan jika tidak ada PRN. Tidak ada kerajaan yang sah dan tiada undang-undang yang membenarkan kerajaan meneruskan pentadbiran tanpa mandat melalui PRN.

“Jika tidak, negeri bakal berdepan masalah lain seperti ketidakstabilan politik, masalah ini bukan sahaja menyebabkan Covid-19 tidak diuruskan dengan baik, malah negara akan runtuh,” jelasnya.

Tambahnya, tidak dinafikan untuk mengadakan PRN dalam situasi sekarang merupakan perkara kedua, namun ia tidak dapat dielakkan kerana Sarawak mesti mematuhi perlembagaan dan undang-undang.

“GPS merupakan kerajaan yang sangat bertanggungjawab, tugas utama kami memastikan keselamatan rakyat. “Tetapi dalam keadaan sekarang kita memerlukan mandat yang harus diperbaharui untuk membentuk Dun dan meluluskan undang-undang,” tegasnya.

Beliau bagaimanapun berkata, PRN harus diadakan dengan prosedur operasi standard (SOP) yang sangat ketat bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.

“Oleh itu, PSB perlu kembali ke logik akal. Mereka seperti pemimpin yang tidak bijak dan membuat kenyataan tanpa berfikir panjang, ”kata lagi.

Suara Sarawak