
SIBU: Parti Sarawak Bersatu (PSB) tidak menolak kemungkinan menyertai mana-mana gabungan yang membentuk Kerajaan Persekutuan akan datang sekiranya gabungan itu dapat memenuhi syarat yang ditawarkan parti itu iaitu mengutamakan kepentingan Sarawak serta mengembalikan hak milik Sarawak.
Presidennya Datuk Seri Wong Soon Koh berkata, partinya mengutamakan Sarawak terlebih dahulu dan tidak akan mengambil suara Sarawak dan memberikannya kepada kerajaan persekutuan tanpa syarat.
“Di peringkat nasional, terdapat tiga kem iaitu Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN). Siapa yang membentuk kerajaan, kita, parti kecil sudah tentu akan memainkan peranan situasi kita.
“Jika mereka memenuhi syarat kami, kami boleh mempertimbangkan untuk menyertai mereka, yang paling penting adalah hak Sarawak dan kepentingan Sarawak,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.
Soon Koh berpendapat, tiada satu komponen pun boleh membentuk kerajaan justeru jika itu berlaku, parti kecil seperti mereka boleh memainkan peranan penting.
“Pada masa ini, kita akan lihat dan kita akan kemukakan syarat kita kepada sesiapa yang diberi mandat terbesar daripada rakyat untuk membentuk kerajaan persekutuan,” katanya.
Soon Koh menegaskan pendirian itu berbeza dengan Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sarawak kerana DAP Sarawak akan menyertai PH tanpa sebarang syarat kerana parti itu sudah menjadi sebahagian daripada PH.
“PSB akan memastikan semak dan imbang dalam kerajaan, khususnya dalam isu rasuah. Kita mahu menghapuskan rasuah kerana ia adalah barah di Malaysia, memakan kekayaan negara,” katanya.
Wong juga mendedahkan bahawa Presiden Parti Warisan Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal menghubunginya seminggu lalu tentang menumpukan usaha memenangi kerusi supaya mereka boleh bersama-sama menyertai gabungan yang membentuk Kerajaan Persekutuan akan datang.
“Beliau memberitahu saya seperti itu, dalam erti kata lain, kita mempunyai pilihan,” katanya yang bertanding untuk kerusi Parlimen Sibu.
Soon Koh menentang calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) Clarence Ting Ing Horh dan penyandangnya dari DAP Oscar Ling Chai Yew.