PSB tandingi semua kerusi

KUCHING: Parti Sarawak Bersatu (PSB) akan bertanding di kesemua Dun termasuk kawasan
hangat PBB pada PRN-12 akan datang.

Presiden PSB Datuk Seri Wong Soon Koh berkata, ia termasuk Dun Bawang Assan dan beliau sendiri terus mempertahankan kerusinya di kawasan tersebut.

“Saya akan terus mempertahankan Bawang Assan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas memberikan sumbangan amal kepada penghuni The Salvation Army Boy’s Home di sini.

Sebelum ini Naib Presiden PBB Dr Annuar Rapa’ee menyatakan sudah tiba masanya Dun Bawang Assan diwakili calon PBB dalam kalangan masyarakat Iban khususnya anak tempatan.

Selain itu, Ketua PBB Bawang Assan yang juga Setiausaha Politik Ketua Menteri Romeo Christopher Tegong menggesa semua cawangan PBB di Bawang Assan membantu parti itu merebut kemenangan.

Bagaimanapun, Soon Koh berkata beliau akan terus mempertahankan kedudukan PSB di Bawang Assan.

“Sebagai presiden parti, saya akan mengetuai parti ini dan menjadikan ia satu persaingan persahabatan.

“Hanya terbaik akan menang, biarkan rakyat membuat pilihan sendiri,” terangnya.

Beliau juga memberitahu PSB mengumumkan calon yang akan bertanding di lima Dun untuk PRN-12 iaitu di Opar, Tasik Biru, Batang Ai, Engkilili dan Balai Ringin.

Jelasnya, Datuk Ranum Mina akan bertanding untuk kerusi Opar, Datuk Dr Tiki Lafe (Tasik Biru), Datuk William
Nyalau Badak (Batang Ai), Datuk Masir Kujat (Balai Ringin) dan Dr Johnical Rayong (Engkilili).

Bagi kerusi Mambong beliau berkata belum diumumkan dan PSB masih terus mengaksesnya belum memberikan keputusan muktamad mengenai calon di kawasan tersebut.

“Apabila tiba masanya, saya akan umumkan. Di Mambong kita juga belum ada pusat khidmat, hanya ada pusat koordinasi.

“Saya akan umumkan semua calon termasuk kawasan yang dihuni masyarakat Cina,” katanya sambil memberitahu, PSB sekarang masih dalam pelan mengatur pelbagai strategi bagi persediaan PRN.

Suara Sarawak