KUCHING: Parti Sarawak Bersatu (PSB) akan menuntut See Chee How untuk melepaskan kedudukannya sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Lintang.
Presiden PSB Dato Sri Wong Soon Koh menegaskan perkara itu adalah antara ‘aku janji’ yang diberikan oleh Chee How kepada PSB sebelum dipilih menjadi calon PSB di DUN Batu Lintang.
“YB See juga menyedari sepenuhnya komitmen lisan dan bertulis yang telah beliau berikan kepada PSB sebelum dipilih menjadi calon PSB di DUN Batu Lintang.
“Ini termasuk ‘aku janji’ untuk membayar pampasan kepada parti jika beliau memilih untuk meletakkan jawatan selepas memenangi kerusi sebagai calon PSB.
“Ia juga termasuk ‘aku janji’ untuk melepaskan jawatannya sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri jika beliau meletakkan jawatan daripada PSB selepas memenangi kerusi itu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Soon Koh menambah Chee How adalah seorang peguam dan tahu apa yang beliau komited secara bertulis sebelum beliau diberikan surat watikah untuk mewakili PSB pada PRN yang lalu.
Justeru, beliau menegaskan dari segi prinsip, PSB akan melaksanakan semua tindakan dan remedi yang perlu berkenaan dengan komitmen yang dibuat oleh Chee How.
Terdahulu, Soon Koh mengesahkan PSB telah menerima surat peletakan jawatan daripada Chee How sebagai ahli PSB.
Justeru, katanya PSB amat kesal dengan tindakan Chee How itu.
Peletakan jawatan Chee How daripada PSB dimaklumkan oleh Speaker DUN, Tan Sri Mohamad Asfia Awang Nassar hari ini, sambil memberitahu menerima surat peletakan jawatan Chee How itu pada 12 Ogos lalu.
“Dengan itu, beliau kini menjadi ADUN bebas,” katanya pada sidang media di kompleks DUN di sini.
Sehubungan itu, beliau berkata kedudukan keahlian parti di DUN Sarawak adalah Gabungan Parti Sarawak (GPS) sebanyak 76 kerusi, PSB tiga kerusi, Parti Tindakan Demokratik (DAP) dua kerusi manakala Bebas satu kerusi.