SELAIN cukup sinonim dengan masyarakat Islam apabila menjelangnya Ramadan, tahukah anda sebenarnya amalan berpuasa turut diamalkan oleh beberapa agama lain di dunia?
Menurut sejarah, amalan berpuasa muncul serentak dengan kemunculan manusia di muka bumi, malah ia turut menjadi satu amalan lazim masyarakat bukan Islam termasuk Mesir kuno, Yunani Greek, bangsa Romawi dan China kuno.
Sehingga hari ini, amalan tersebut masih dipraktikkan oleh sesetengah agama seperti Kristian, Judaism, Buddhism, Hinduism, Jainism dan sebagainya.
Konsep puasa difahami oleh agama-agama umumnya sebagai satu kaedah penyucian jiwa dan raga manusia, selain sebagai langkah penyatuan dan ketakwaan kepada Tuhan.
Secara konseptualnya puasa difahami sebagai tindakan ‘menahan diri daripada melakukan sesuatu’.
Justeru walaupun amalan berpuasa ini terdapat dalam agama-agama lain, puasa dari segi syariat dan pengisiannya adalah berbeza-beza.
Menahan diri daripada melakukan sesuatu bagi sesetengah agama merujuk kepada makan dan minum, atau salah satu daripadanya untuk beberapa waktu, atau juga terhadap sesuatu tindakan seperti menahan diri daripada berkahwin.
Pernahkah anda mengetahui serba sedikit tentang amalan berpuasa dalam kalangan penganut agama-agama lain?
Saya kongsikan beberapa perspektif tentang amalan berpuasa daripada empat agama di serata dunia.
Bagi penganut Buddha, puasa adalah salah satu cara yang berkesan untuk mengawal diri manusia daripada tuntutan nafsu.
Ia juga mempunyai sedikit persamaan dengan ajaran Hindu dengan berpuasa pada hari bulan penuh yang dikenali sebagai Uposatha.
Cara berpuasa bagi cabang Thevarada dan Mahayana dalam ajaran Buddha juga berbeza antara satu sama lain.
Di Asia Tenggara, majoriti penganut ajaran Buddha berpegang kepada aliran Thevarada.
Mereka mengamalkan satu latihan yang disebut sebagai Dhutanga yang bermaksud melepaskan segala tuntutan dunia ke atas diri termasuklah makanan, manakala aliran Mahayana masih boleh memakan sayur-sayuran ketika berpuasa kecuali jenis tumbuhan yang mempunyai bau yang kuat seperti bawang putih.
Selain itu, terdapat juga satu amalan berpuasa yang diamalkan oleh para sami Budhha di Tibet yang dikenali sebagai ‘NyoongNay’.
Bagi cara berpuasa ini, ia akan dilakukan selama dua hari. Sementara bagi agama Kristian, puasa memang memainkan peranan yang besar serta dilihat salah satu cara terbaik penganutnya mendekatkan diri dengan Tuhan.
Salah satu paling popular adalah puasa 40 hari sempena musim Lent. Puasa musim Lent ini dilakukan bagi memperingati kesusahan Jesus Christ semasa perjalanannya di padang pasir.
Namun, seiring dengan peredaran zaman, puasa musim Lent yang diamalkan kini sudah mempunyai banyak kelonggaran dan kemudahan.
Mereka tidak lagi perlu berpuasa sepanjang hari tanpa makan dan minum. Ada sesetengah gereja membenarkan pengikutnya untuk makan dan minum seperti biasa dan perlu mengelakkan pengambilan daging sahaja.
Namun, ada juga beberapa golongan dalam ajaran Kristian yang masih mengamalkan puasa sepanjang hari dengan tidak makan dan minum, merokok dan juga minum arak dikenali sebagai Black Fasting.
Untuk agama Yahudi pula, amalan berpuasa dipercayai dapat mengurangkan kemurkaan Tuhan ke atas mereka selain dengan tujuan mengenang peristiwa kemusnahan bandar Jerusalem yang diserang oleh Nebuchadnezar II.
Dalam kitab Taurat pula, ada dinyatakan kewajipan puasa ke atas penganut agama Yahudi pada hari kesepuluh di bulan ketujuh yang disebut sebagai Asyura dengan berpuasa dari waktu siang sehingga malam.
Bagi golongan Yahudi Ortodoks, mereka mengamalkan puasa wajib satu hari pada hari Yom Kippur.
Ada juga sebilangan yang mengamalkan puasa mengikut Nabi Yahya, 40 hari berpuasa seperti amalan Nabi Musa dan 40 hari puasa mengikut Nabi Ilyas.
Mereka juga berpuasa secara sukarela pada hari Isnin dan Khamis. Manakala amalan berpuasa dalam agama Hindu tidak mempunyai panduan yang tetap dan setiap penganutnya diberikan kebebasan memilih hari mana mereka akan berpuasa.
Namun, amalan berpuasa banyak sekali dianjurkan dalam ajaran agama ini yang dinamakan sebagai amalan ‘upavasa’ – yang membawa makna ‘upa’ (dekat) dan Vasa (istilah Dewa).
Ini bermakna amalan berpuasa diamalkan adalah bagi mendekatkan diri mereka dengan Tuhan atau Dewa yang mereka anuti.
Selain ia berbeza mengikut keraian atau kepercayaan pada waktu tertentu. Pada hari perayaan agama, puasa sepenuhnya akan diamalkan.
Ada juga harinya mereka akan berpuasa daripada makanan dan hanya minum air.
Ketika hari-hari Purnima (bulan mengambang penuh) dan hari Ekadasi iaitu hari ke-11 selepas hari bulan penuh, penganut Hindu akan mengamalkan puasa sepenuhnya, tidak makan dan minum daripada detik matahari terbenam sehinggalah 48 minit selepas matahari terbit keesokannya. Apa-apa pun sebabnya, amalan berpuasa merupakan cara yang baik untuk mendekatkan diri kepada Tuhan mengikut kepercayaan agama masing-masing.