Trending

Public Bank, SJPP kerjasama beri pembiayaan RM1 bilion kepada PKS

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
E-mel

KUALA LUMPUR: Public Bank Bhd akan memberi pembiayaan bernilai RM1 bilion kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menerusi kerjasama strategik dengan Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan Bhd (SJPP), sebuah agensi di bawah Kementerian Kewangan. 

Dalam satu kenyataan hari ini, Public Bank memaklumkan pembiayaan bernilai RM1 bilion itu akan meliputi kesemua skim kewangan yang dijamin oleh SJPP seperti Skim Jaminan Modal Kerja (WCQS), Skim Jaminan Kerajaan PEMULIH (PGGS) dan lain-lain.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Public Bank Tan Sri Dr Tay Ah Lek berkata kerjasama itu akan meningkatkan lagi akses PKS kepada pembiayaan.

“Dengan pendedahan domestik yang besar sebanyak RM67 bilion untuk pemberian pinjaman komersial berasaskan PKS pada akhir tahun 2022, yang bersamaan dengan 18.6 peratus bahagian pasaran industri, Public Bank terus komited untuk membantu segmen PKS untuk maju, berkembang dan terus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara,” katanya.

Majlis khas bagi menandakan kerjasama strategik dengan SJPP tersebut diadakan di Menara Public Bank hari ini dan Public Bank turut mengumumkan penyertaannya dalam ‘Skim Jaminan Kerajaan MADANI (GGSM)’.

Skim GGSM itu merupakan jaminan skim pembiayaan terbaharu yang bertujuan untuk memberi nafas baharu kepada perniagaan PKS dan syarikat bersaiz pertengahan Malaysia yang layak, dengan tumpuan khusus kepada syarikat yang terlibat dalam empat sektor ekonomi iaitu teknologi tinggi, pertanian, pembuatan dan pelancongan.

Pertubuhan perniagaan yang layak daripada empat sektor tumpuan itu akan dapat meraih manfaat daripada perlindungan jaminan SJPP yang lebih tinggi sehingga 90 peratus dan fi jaminan serendah 0.50 peratus.

Selain itu, Public Bank dan SJPP juga sedang bekerjsama untuk membangunkan skim pembiayaan yang menumpukan pada alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) untuk menggalakkan PKS supaya terlibat dalam amalan terbaik kemampanan.

“Kerjasama baharu dengan SJPP ini bertujuan untuk menyokong tuntutan masyarakat perniagaan yang semakin meningkat untuk produk dan penyelesaian berkaitan ESG yang sejajar dengan pendekatan proaktif Public Bank dalam menyokong peluang pertumbuhan yang dibawa dengan aspirasi negara untuk membangun dan mengubah ke arah ekonomi yang berpacukan digital dan kemampanan,” katanya. – BERNAMA

Suka artikel:

e-Akhbar Suara Sarawak

Berita Berkaitan

E-Paper

10 Disember 2023

Berita Terbaru