KUCHING: Lelaki tempatan dijatuhi hukuman denda RM2,000 atau tiga bulan penjara oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini, kerana memukul kekasihnya menggunakan kerusi hingga menyebabkan kecederaan.
Tertuduh Christphor, 38, berasal dari Layar, Betong mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Zubaidah Sharkawi.
Mengikut pertuduhan, dia sengaja mendatangkan kecederaan terhadap Hilda, 35, dengan memukul menggunakan kerusi kayu di sebuah rumah di Taman Seri Cahaya, Jalan Batu Kawa, kira-kira jam 7.20 pagi, 8 Febuari lepas.
Oleh itu, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga satu tahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali.
Menurut fakta kes, punca pertengkaran berlaku kerana tertuduh cemburu selepas menyemak mesej antara pengadu dan rakan-rakannya dalam telefon pintar.
Semasa pertengkaran, tertuduh cuba memukul menggunakan kayu katil tetapi berjaya dielak, dia kemudian mengambil kerusi lalu memukul kepala mangsa hingga menyebabkan kesakitan seluruh badan dan kepala.
Pendakwaan kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa ASP Rogayah Rosli manakala tertuduh tidak diwakili peguam.