ARTIKEL

Pulau Bruit perlu ada balai polis – Yusuf Abdul Wahab

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

SARIKEI: Ahli Parlimen Tanjong Manis, Yusuf Abdul Wahab, menggesa kerajaan mempertimbangkan cadangan bagi pembinaan sebuah balai polis baharu di Pulau Bruit untuk meningkatkan tahap keselamatan di kawasan itu.

Menurutnya, perkara itu pernah dibangkitkannya ketika sesi perbahasan di Dewan Rakyat namun belum mendapat respon positif daripada kementerian berkaitan.

Malah katanya, beliau turut mengemukakan cadangan agar balai polis itu dibina di Tapak Pertumbuhan Desa (RGC) Kampung Semop sejajar dengan kewujudan sebuah klinik kesihatan di kawasan tersebut.

“Pulau Bruit mempunyai 12 perkampungan dan sebuah rumah panjang namun hingga hari ini, kawasan itu belum ada balai polis.

“Walaupun mungkin indeks jenayah masih rendah, namun kita perlu mengambil langkah segera memandangkan kawasan ini semakin membangun.

“Malah ada juga kedengaran tentang kes dadah dan sebagainya, jadi saya rasa menjadi keperluan balai polis dibina di Pulau Bruit,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas menyempurnakan Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Bekas Polis Malaysia (PBPM) Cawangan Sarikei, hari ini.

Yusuf berkata pembinaan itu penting seiring pertambahan jumlah penduduk selain perubahan dan pembangunan yang sedang berlaku di kawasan tersebut.

“Pada masa yang sama, saya juga menggesa supaya kemudahan bagi semua balai polis sedia ada di Parlimen Tanjong Manis ditambah baik untuk memastikan keselesaan anggota dan tahap keselamatan kawasan itu terjamin,” katanya yang juga Pengerusi CIDB Malaysia.

Hadir sama, Ketua Polis Daerah Sarikei, Pemangku Superintendan Aswandy Anis.

Yusuf (baju biru) mengabadikan kenangan bersama hadirin pada Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan PBPM Cawangan Sarikei bersama Pemangku Superintendan Aswandy Anis.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU