Pulau Pinang batal penganjuran bazar Ramadan tahun ini – Chow

GEORGE TOWN: Penganjuran bazar Ramadan di seluruh Pulau Pinang pada tahun ini dibatalkan bagi mengekang penularan pandemik COVID-19, menurut Ketua Menteri Chow Kon Yeow.

Beliau berkata perkara itu diputuskan dalam mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan Khas Negeri (JKKN) Pulau Pinang hari ini selepas mengambil kira keselamatan dan kesihatan rakyat di negeri ini.

Selain itu, Chow berkata mesyuarat meluluskan pengoperasian beberapa perkhidmatan dengan tempoh operasi dua kali seminggu iaitu pada hari Isnin dan Khamis dari pukul 8.00 pagi hingga 2.00 petang bermula 6 April ini.

“Perkhidmatan yang terlibat adalah penjualan kedai input pertanian (baja/racun), kedai perkakasan, penjualan makanan haiwan dan ubatan serta kedai menjual alat tukar ganti,” katanya pada sidang media yang disiarkan secara langsung menerusi laman Facebook peribadinya di sini, hari ini.

Beliau berkata perkhidmatan seperti pembaikan segera untuk kerja-kerja kritikal, pembersihan dan penyemburan racun serangga; perkhidmatan perbankan hanya melibatkan bahagian IT dan bahagian menguruskan wang tunai; serta kerja-kerja penyelenggaraan kepada 10 sektor kritikal turut dibenarkan untuk beroperasi seperti biasa.

Dalam pada itu, Chow turut mengumumkan seramai 1,392 penerima bantuan am negeri Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah menerima bantuan tunai RM500 seperti yang diperuntukkan dalam Pakej Bantuan Rakyat Pulau Pinang.

“Bagi penerima bantuan persekutuan JKM, saya dimaklumkan oleh JKM Pulau Pinang bahawa bantuan akan disalurkan selewat-lewatnya 10 April. Malah, bayaran bagi pemandu pelancong dan pengusaha bas sekolah juga telah dimulakan sejak semalam. Bagi penarik beca, bayaran akan dilakukan secara manual pada minggu ini.

“Kerajaan negeri faham akan kesusahan yang diharungi oleh rakyat Pulau Pinang. Justeru, adalah menjadi hasrat kerajaan negeri untuk menghulurkan segala bantuan dengan kadar segera. Saya menyasarkan bahawa menjelang minggu kedua bulan April, kita akan capai 100 peratus penyempurnaan bayaran Pakej Bantuan Rakyat Pulau Pinang,” katanya.

Pada sidang media itu, Chow mengumumkan Tenaga Nasional Berhad menyumbang RM2 juta kepada kerajaan negeri untuk pembelian peralatan perubatan dan klinikal manakala pemaju Tamarins Group Sdn Bhd memberi sumbangan RM200,000 kepada Tabung COVID-19 Pulau Pinang.

Suara Sarawak