ARTIKEL

Punan dan Klirieng Saghieng yang condong

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

BEBERAPA bulan lalu, penulis dan rombongan Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) berkesempatan berkunjung ke Kampung Pandan, di Sebauh, Bintulu, Sarawak.

Kampung ini merupakan “kampung asal” masyarakat Punan, dengan jaraknya sekitar 55 kilometer dari bandar Bintulu.

Menariknya kampung ini, ia terletak di persimpangan Sungai Kemena dan Kuala Pandan, dan difahamkan, pernah wujud rumah panjang Punan di situ.

Namun hari ini, menurut Ketua Kaum Juhaidi Rose, di kampung tersebut, wujud komuniti yang bercampur, dengan penduduknya bukan sekadar Punan, namun terdapat Vaie, Melayu, Melanau dan Iban, dengan populasi sekitar 600 orang.

Bukti kewujudan rumah panjang Punan di sini ialah terbinanya sebuah klirieng, atau tiang makam, yang lazimnya dibina di hadapan rumah panjang etnik itu.

Ia dipercayai milik Orang Kaya Saghieng, yang telah meninggal dunia ratusan tahun dahulu. Orang Kaya Saghieng merupakan pemerintah Punan yang amat disegani, dan lahir daripada kelas atau strata Tengelan, atau bangsawan.

Ia mencirikan betapa masyarakat Punan merupakan etnik yang amat disegani.

Menurut penyelidik etnik Punan, Calvin Jemarang, ketika ini jumlah masyarakat Punan di Sarawak sekitar 6,000 orang.

Mereka kebanyakannya tertumpu di tiga daerah utama iaitu Sebauh, Tatau dan di Belaga.

Di seluruh Sarawak katanya, kajian mendapati hanya terdapat 17 rumah panjang Punan yang berbaki. Kebanyakannya terletak di kawasan Kakus (Tatau), Ulu Merit (Belaga) dan di Sebauh (Pandan dan Jelalong).

Sejak dahulu katanya, banyak pihak yang keliru dengan Punan, dan mengasosiasikannya dengan Penan. “

Ia bukan asing bagi kami, mungkin kerana sebutannya yang hampir sama.

Namun Penan dan Punan amat berbeza terutama dari segi bahasa. Malah Penan merupakan etnik yang nomad dan sering berpindahrandah, manakala kami, sejak dari dahulu tinggal menetap.”

Punan juga pernah dinamakan sebagai Upriver Melanau atau Orang Melanau hulu, ketika era pemerintahan Brooke.

Selain itu pernah dikaitkan dengan etnik Kajang oleh seorang pengkaji sekitar tahun 1930. Manakala pada tahun 1949, seorang pengkaji menamakan semula etnik ini sebagai Punan Bah — bagi membezakannya daripada etnik Kajang dan Penan.

Namun kata Calvin, yang lahir di Belaga dan dibesarkan di Kakus, ia juga tidak tepat kerana Punan Bah merujuk kepada Sungai Bah, cabang anak Sungai Batang Rejang.

“Punan dalam bahasa kami bermaksud manusia. Dan dari segi sejarah migrasinya, ia dipercayai berasal dari kawasan Jelalong dan Tatau.

“Berdasarkan sejarah dan cerita rakyat, komuniti yang rapat dengan masyarakat Melanau, kerana tinggal berjiran ini, telah diasak ke luar kawasan ketika era perang kaum dan pemburuan kepala oleh etnik Kayan dan Iban, suatu ketika dahulu.

“Kerana itulah mereka tinggal bertaburan hingga ke Ulu Merit di Belaga. Menurut Calvin, dalam perlembagaan Sarawak, Ordinan Tafsiran Sarawak, Perkara 161A etnik ini dibaca sebagai subetnik Kajang, sama seperti Sekapan, Kejaman, Lahanan dan Sihan.

Secara tidak rasmi, mereka juga termasuk dalam istilah Orang Ulu. Seperti etnik lain di Sarawak, Punan turut memiliki kepercayaan animisme atau pagan.

Menurut Calvin, agama pagan Punan dikenali sebagai beyo dan savi. Sistem kepercayaan beyo ini merujuk pada petanda, manakala savi merupakan pemujaan yang kemudian menggalakkan lelaki Punan terlibat dalam pemburuan kepala.

Pemburuan kepala ini bukan sahaja bertujuan untuk membuktikan keberanian dan kejantanan, tetapi memiliki hubungan simbiotik dengan kejayaan tuaian.

Katanya lagi, selepas kedatangan kaum Kayan pada pertengahan abad ke-18, tradisi savi perlahan-lahan ditinggal dan digantikan dengan adat Bungan.

Dan amalan adat ini juga terhenti selepas ramai dalam kalangan komuniti ini memilih untuk memeluk agama Kristian dan Islam.

Merujuk Orang Kaya Saghieng Selawik, beliau diiktiraf sebagai seorang pemimpin Punan yang hebat. Bapanya berketurunan Punan, manakala ibunya berdarah Kayan.

Berdasarkan catatan sejarah, beliau pernah memimpin kumpulan yang terdiri daripada ketua masyarakat Sitieng, Taytow dan Kejaman menghadap Sultan Brunei, Sultan Omar Ali Saifuddin II yang baru sahaja ditabalkan sebagai raja.

Saghieng bagaimanapun meninggal dunia di Pandan, tidak lama selepas kembali dari Brunei.

Kerana statusnya itu, maka beliau disemadikan di atas klirieng, dengan temulangnya diletakkan di dalam tempayan khas selepas mayatnya dikeringkan di rumah panjang.

Pembinaan klirieng menurut Calvin lagi diharamkan oleh pemerintah Brooke pada 1884, kerana untuk membinanya tidak boleh sebarangan. Perlu ada “korban” di tapaknya.

Namun masyarakat Punan masih mengamalkannya sehingga 1890- an.

Katanya, membuat klirieng, tidak boleh sebarangan kerana ia melibatkan semangat yang mistik.

“Buktinya, ada seorang individu yang membina replika klirieng ini untuk ditunjukkan kepada Menteri Pelancongan Sarawak ketika itu, mendiang Tan Sri James Jemut Masing. A “Oleh kerana ia adalah replika, beliau mengabaikan upacara dan ritual yang perlu dibuat.

“Akibatnya, seminggu-minggu klirieng itu berada di bawah rumahnya, selama itu beliau dan keluarganya tidak dapat tidur, kerana diganggu oleh sesuatu. Mengakui klirieng Orang Kaya Saghieng di Pandan sudah uzur, dan berisiko untuk roboh, beliau berharap tindakan diambil sepantas mungkin untuk menanganinya.

“Klirieng ini sudah diwartakan dan pihak yang berkuasa terhadapnya adalah Kerajaan Negeri (Muzium Sarawak).

“Ketika ia condong, pada 1983, penduduk rumah panjang, yang ada, antaranya waris Orang Kaya Saghieng telah mengambil inisiatif untuk membina tapaknya daripada simen.

“Saya percaya, itulah antara punca ia condong lebih teruk kerana binaan ini sebenarnya daripada kayu belian,” ujarnya.

Kata Calvin, beliau telah menulis kepada pihak Muzium Sarawak berhubung perkara itu, kerana klirieng itu amat berpotensi sebagai produk pelancongan di kawasan Bintulu.

“Kalau runtuh, hilanglah sejarah di sini. Pandan merupakan penempatan tertua di Bintulu, yang wujud pada abad ke-18.

“Ia wujud ketika era pemerintahan Kesultanan Brunei dan menjadi kawasan tumpuan ketika itu, selain Segan. Harapan Calvin, seperti juga Juhaidi, agar tindakan segera dilakukan bagi memastikan binaan itu tegak kembali. Keadaannya cukup uzur, dan jika ia runtuh atau rebah ke bumi, risikonya adalah temulang yang berada di dalam tempayan akan turut berderai.

Ini adalah sejarah penting etnik Punan.

Bermaksud sejarah penting bagi Sarawak. Ia menggambarkan bahawa etnik Punan merupakan etnik yang cukup penting biarpun komunitinya tidak besar di negeri ini. Justeru tindakan segera perlu dilakukan oleh pihak berwewenang, bagi mengingati sejarah besar etnik yang mungkin diancam kepupusan, sementelah kampung asal mereka semakin mengecil.

• Rudi Affendi Khalik merupakan penulis, wartawan dan penerbit di syarikat penerbitan tv dan kandungan media di Sarawak.

LAIN-LAIN BERITA

Kisah Prabowo panglima terbuang

BERDASARKAN hitung pantas, Prabowo Subianto sudah hampir pasti akan mengangkat sumpah sebagai Presiden Republik Indonesia ketujuh pada Oktober depan. Kiraan pantas dan tidak rasmi tersebut

Selidik pemungut derma

MENURUT pprm.dbp.gov. my derma ialah pemberian yang ikhlas berupa wang dan lain-lain kepada orang miskin; dan juga bantuan wang kapada kumpulan (yayasan dan lain-lain). Mudah

Kematian semakin dekat

KEMATIAN, sebagai satusatunya kepastian dalam kehidupan manusia, menghantui fikiran manusia sejak awal zaman.  Kehidupan pasti diakhiri dengan kematian sebagaimana firman Allah SWT dalam al-Quran surah

Presiden kelapan bulan sepuluh

KIRAAN cepat (quick count) sejumlah badan bebas berkaitan Pemilihan Presiden (Pilpres) Indonesia 2024 pada Sabtu, 17 Februari, menunjukkan pasangan PrabowoGibran unggul teratas. Mereka meraih 58.48

Bahaya bah betina

SEKALI air bah, sekali pantai berubah. Sekali banjir melanda, air masuk rumah, keseluruhan isi di dalam rumah berubah. Banjir suatu fenomena alam yang sentiasa melanda

Kenapa perlu belanja lebih?

KETIKA melayari media sosial seperti Facebook, hampir setiap rakan alam maya atau netizen berkongsi mengenai bebanan hidup yang dialami disebabkan kenaikan harga barangan keperluan. Kos

BERITA TERBARU

Berita yang menyedihkan – Datuk Sim Kiang Chiok

KUCHING : Pengerusi Persatuan Pemaju Perumahan dan Hartanah Sarawak (SHEDA) Cawangan Kuching Datuk Sim Kiang Chiok, menyifatkan pemergian bekas Yang di-Pertua Negeri Tun Abdul Taib

Projek ART Johor bechuntoka pemujur Sarawak

KUCHING: Sistem Transit Aliran Autonomi (ART) di Sarawak deka nyadi malin ungkup projek ART ti deka dipejalai di nengeri Johor. Perintah Nengeri Johor benung ngelanggur