Punca banjir kilat di Kampung Rampangi ditangani

KUCHING: Masalah parit tersumbat yang berlaku di Kampung Rampangi Fasa 1 dan Kampung Rampangi Fasa 2 mendapat perhatian daripada Kerajaan Sarawak. Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam dan DBKU) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, sebahagian sistem perparitan di kedua-dua kampung tersebut tidak sempurna menyebabkan air tidak mengalir.

Malah menurutnya, ada antara kawasan sudah dinaik taraf kepada parit konkrit namun tidak berfungsi dengan baik. “Kita telah mengenal pasti kawasan bermasalah seperti di Lorong Cengal dan Nyatuh (Kampung Rampangi Fasa 1) dan Lorong Merbau (Kampung Rampangi Fasa 2),” katanya selepas mengunjungi kawasan terjejas semalam.

Dr Abdul Rahman yang juga Menteri Muda Utiliti (Bekalan Air) berkata, Jabatan Pengairan dan Saliran (DID) akan memperbaiki parit tersumbat dan meluaskan anak sungai untuk melancarkan aliran air.

Malah jelasnya, DBKU akan menyediakan projek rakyat untuk membina parit konkrit dengan kos RM2 juta untuk mengatasi masalah banjir kilat.

“Inilah usaha dilakukan Kerajaan Sarawak untuk memberi keselesaan kepada rakyat,” ujarnya.

Beliau turut berterima kasih kepada Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg yang meluluskan dana untuk projek perparitan tersebut. Turut hadir wakil DID, DBKU dan Ketua Kampung Rampangi Fasa 1 dan Kampung Rampangi Fasa 2.

Suara Sarawak