
KUCHING: Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan giat bekerjasama dengan Persatuan E-sukan Sarawak (SESA) dalam mewujudkan platform pembangunan sukan elektronik (e-sukan).
Menterinya, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata ia termasuk menganjurkan pertandingan e-sukan bagi mewujudkan jaguh dalam bidang tersebut pada masa akan datang.
“Pertandingan e-sukan diyakini dapat mempromosikan pembangunnya dari peringkat akar umbi dan berubah menjadi platform latihan yang lebih kompetitif.
“Pada masa sama, memupuk bakat individu, sekali gus menggalakkan mereka mewakili negeri di peringkat global,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika persidangan hari ketujuh mesyuarat kedua bagi penggal pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-19, di sini, hari ini.
Tambahnya, pertandingan e-sukan yang dianjurkan sebelum ini telah melibatkan sekitar 2,500 peserta di seluruh Sarawak dengan menyaksikan pelbagai kemenangan berjaya diraih.
“Justeru, kewujudan Pusat Kecemerlangan (CoE) untuk e-sukan di bawah persatuan tersebut dapat mempersiapkan dan memupuk lebih ramai atlet untuk bersaing di kejohanan antarabangsa,” katanya.
Beliau menambah SESA juga telah berjaya menganjurkan Kejohanan Antarabangsa My Borneo E-Force, Cabaran Mobile Legend (MLBB), Liga E-sukan Malaysia dan lain-lain bagi menggalakkan penyertaan rakyat tempatan.
“Pada sukan Sea yang lalu, Malaysia telah menyumbangkan tiga pingat gangsa dalam acara e-sukan, dan ada di antara mereka wakil dari Sarawak,” ujarnya lagi.