
SEMAKIN hari semakin menjadi-jadi kes bunuh melibatkan pembunuhan ahli keluarga pada masa ini.
Hal ini amat merisaukan dan memberi kebimbangan kepada umum sehingga ramai yang membuat andaian dan spekulasi di media sosial.
Sebelum ini, ada kes melibatkan seorang anak membunuh ibunya melibatkan hak harta pusaka.
Selepas tu, beberapa hari yang lepas kes seorang lelaki berusia 26 tahun mengelar leher isteri dan anaknya yang baru sahaja berumur dua bulan.
Lebih pelik apabila lelaki itu melarikan diri dengan menunggang motosikal dalam keadaan bogel sebelum ditahan pihak polis.
Sehari selepas itu pula, seorang anak membunuh ibunya di rumah mereka — mangsa merupakan persara guru.
Kejadian-kejadian ini mendapat liputan meluas dan tular di media sosial sehingga membimbangkan hati dan perasaan kita.
Kini kita dapat nampak bahawa hubungan kekeluargaan pada masa kini kian memburuk dan semakin renggang.
Hal ini tidak boleh dibiarkan kerana boleh meruntuhkan institusi kekeluargaan dan masyarakat sehingga memberi impak negatif kepada anak-anak.
Pasti kita tertanya-tanya kenapa seseorang sanggup membunuh ahli keluarga terdekat mereka sendiri pada hal ahli keluarga yang membantu, memberi nasihat dan segala-galanya bagi kita.
Sudah tentu ada beberapa perkara yang tidak baik berlaku kepada keluarga itu sama ada dalam hubungan, sikap, pergaulan, campur tangan orang lain, penyalahgunaan dadah, cemburu, tidak puas hati dan sebagainya.
Perkara-perkara negatif ini memberi impak yang sangat buruk kepada hubungan apabila tidak dibendung dari awal.
Oleh itu, harus kita kenal pasti beberapa isu penting yang memberi kesan kepada hubungan terutamanya melibatkan hubungan suami isteri dan hubungan ibu bapa dan anak.
Komunikasi dalam institusi kekeluargaan menjadi isu utama yang perlu diberi perhatian dalam setiap hubungan kerana komunikasi merupakan jalan penyelesaian paling berkesan apabila berlaku sesuatu masalah.
Melalui komunikasi kita dapat mengenal pasti punca masalah, cara menyelesaikan masalah dan cara mengelakkan masalah berulang.
Sebagai contoh, masalah melibatkan suami isteri yang cemburu kepada pasangan masing-masing.
Mereka harus berkomunikasi untuk meluahkan perasaan masingmasing dan memberitahu tentang perkara yang tidak disukai agar dapat menyedarkan salah satu pihak untuk berhati-hati pada masa akan datang.
Selain itu, berkongsi masalah dengan orang terdekat juga perlu untuk memberi ketenangan jiwa dan perasaan kepada kita.
Apabila ingin berkongsi masalah, kita harus memilih individu yang tepat agar mereka boleh menyimpan rahsia, menjadi pendengar yang baik, menyokong dan memberi nasihat yang tepat.
Sebagai contoh berkongsi masalah dengan ibu bapa, adik-beradik, suami isteri dan pakar kaunseling.
Adalah amat penting untuk kita berkongsi masalah dengan orang yang dipercayai supaya masalah kita tidak tersebar dan menyebabkan orang lain mengetahui masalah kita. Isu berkenaan masalah yang timbul dalam institusi kekeluargaan ini tidak hanya bergantung kepada kerajaan kerana ia kebanyakannya adalah masalah peribadi.
Walaupun kerajaan melaksanakan beberapa langkah dan tindakan seperti menyediakan perkhidmatan kaunseling, menubuhkan kementerian yang menjaga isu kekeluargaan, menyediakan pusat perlindungan dan sebagainya, isu ini masih timbul dan semakin meningkat.
Ini kerana rakyat kita sendiri masih belum ramai sedar akan kepentingan atau hal yang berkaitan dengan kekeluargaan.
Kita berharap ramai lagi rakyat di negara kita sedar akan isu ini bagi mengelakkan kejadian-kejadian yang boleh membawa maut ini berlaku lagi.