Pupuk minat sains, teknologi seawal lima tahun

MIRI: Lebih 4,000 pengunjung menghadiri pameran mainan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (Stem) Playground untuk hari pertama di Pustaka Sarawak Miri di sini, semalam.

Pemaran itu anjuran Kerajaan Sarawak menerusi Tabung Ekonomi Gagasan Anak Bumiputera Sarawak (Tegas) yang turut disokong Kementerian Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi dan Lembaga Multimedia Sarawak dengan kerjasama Universiti Curtin Malaysia Kampus Sarawak.

Dengan bertemakan Terokai, Cipta, Inovasi, acara itu bertujuan memupuk minat Stem dalam kalangan pelajar seawal usia lima tahun.

Selain itu, lebih 20 institusi pendidikan dan jabatan serta swasta seperti Unimas, UiTM Sarawak, Pustaka Negeri Sarawak Cawangan Miri, Kinabalu Coder, Pejabat Pendidikan Daerah Miri, Dream Catcher, Chumbaka, Petrosains, Creative Robotic Borneo dan Planetarium Sultan Iskandar mengadakan pameran interaktif untuk pengunjung.

Selain itu, turut diadakan pelbagai jenis pertandingan melibatkan teknologi antaranya Cabaran Stem, Stem Challenge Tech Track, Stem Challenge Science Track, Kejohanan Inovasi Sains dan Teknologi IEEE, Challenge Inovator Young dan Pertandingan Innovate Junior.

Terdapat juga pameran Sains yang dibawakan khas oleh Petrosains yang bertajuk Cool Chemistry, Pressure Show dan Combustion Show dengan memperkenalkan konsep Sains Asas yang menarik dan menyeronokkan.

Stem kali ini dibahagikan kepada pelbagai zon seperti Zon Kanak-Kanak, Zon Sains Inovatif, Teknologi dan Zon Robotik, Zon Kemanusiaan, Sukan dan Sains serta H2O dan Zon Sains Makanan.

Dalam pada itu, program Micro: Bit Workshop: Training of Trainer (TOT) turut diadakan, bertujuan melatih pelajar dan guru tentang cara menggunakan papan pengawal mikro untuk projek inovatif di sekolah mereka.

Di samping itu, program itu juga membantu guru yang berkemahiran dengan pengetahuan baharu tentang teknologi.

Oleh itu, SMA-Tegas Digital Innovation Hub Miri mengalu-alukan kehadiran ibu bapa, pelajar, guru, belia dan orang awam untuk memeriahkan program tersebut.

Stem Playground Miri diadakan selama dua hari iaitu 3 dan 4 Ogos, bermula pada jam 10 pagi hingga 5 petang serta kemasukan adalah percuma untuk semua orang.

Suara Sarawak