KUCHING: Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) terus tekad melibatkan pelajar dalam menjalankan pelbagai program yang memberi manfaat kepada komuniti.
Perkara tersebut juga dapat dilihat menerusi kejayaan Program Juh Berambeh di Kampung Asajaya Ulu di Dewan Masyarakat Kampung Asajaya Ulu yang telah berlangsung pada 8 Jun lalu.
Program yang bermula dari jam 7 pagi hingga 6 petang ini melibatkan penyertaan seramai 200 peserta dan 99 pelajar UNIMAS.
Ia juga merupakan projek khas di bawah tugasan Kursus Kokurikulum Berkredit UNIMAS dengan kerjasama program jangkauan komuniti Pendidikan Islam di bawah Fakulti Pendidikan, Bahasa dan Komunikasi UNIMAS.
Selain itu, program tersebut juga bertujuan untuk memupuk semangat kesukarelawanan dan kerjasama antara pelajar UNIMAS dengan masyarakat setempat.
Pelbagai aktiviti menarik telah dijalankan oleh pelajar UNIMAS sepanjang hari untuk meningkatkan interaksi dan mengeratkan hubungan antara pelajar dengan penduduk kampung.
Antara aktiviti yang dijalankan adalah demonstrasi pembuatan kuih-muih tradisional, sesi latihan tarannum al-Quran, dan persembahan seni silat serta sumbangan Tatami Mattress yang disampaikan oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UNIMAS, Profesor Ir. Ts. Dr Al Khalid Othman.
Program yang pernah dipromosikan melalui segmen Inspirasi Duniamu TVS, mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada penduduk setempat dan pelajar UNIMAS.
Justeru, kejayaan program ini membuktikan komitmen UNIMAS khususnya para pelajar dalam menjalankan program-program yang memberi manfaat kepada komuniti. UNIMAS juga berharap agar hubungan yang terjalin melalui program ini akan terus kekal dan memberi impak positif kepada semua pihak yang terlibat.
Hadir sama Pengarah Pusat Pembangunan Pelajar UNIMAS, Profesor Madya Dr Faisal Ali Anwarali Khan; serta tiga fasilitator subteras kuih-muih Siti Asmah Mas; fasilitator subteras seni tarannum al-Quran Muhd Syahazizamir Sahmat; fasilitator subteras silat seni Fatin Ardani Zamri.


