MAHU menghabiskan lebih banyak masa dengan keluarga adalah sebab penyanyi Indonesia, Pusakata berundur dari kumpulan Payung Teduh.
Pusakata atau nama sebenarnya, Mohammad Istiqamah Djamad, 39, berkata, kesibukan ketika bersama Payung Teduh sebelum ini menyebabkan dia jarang meluangkan masa bersama keluarganya.
“Kami membuat 17 hingga 22 persembahan dalam sebulan dan hanya lima hari saya pulang ke rumah.
Ini membuatkan masa bersama keluarga itu terbatas.
“Kalau pulang pun hanya membawa penat saja, sampaikan isteri sudah seperti tidak mengenali saya kerana jarang berada di rumah,” katanya.
Menurutnya, masa kecil anaknya adalah satu hal yang tidak akan berulang dan hanya boleh dia rindukan sekiranya dia sentiasa berada di rumah bersama-sama keluarga.