KUCHING: Pusat beli belah, The Spring ditutup sementara mulai esok berikutan tujuh pengawal keselamatannya disahkan positif Covid-19.
Pengurusan The Spring berkata, pusat beli belah tersebut akan menjalankan pembersihan dan sanitasi penuh dengan mengikuti garis paduan dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Katanya, kesemua kakitangan operasi juga diarahkan untuk menjalani ujian saringan manakala sepasukan pengawal keselamatan baharu akan mengambil alih pasukan sedia ada.
“Sepanjang tempoh yang tidak dijangka ini, kami komited untuk melakukan yang terbaik untuk mengambil langkah dan tindakan berjaga-jaga dengan mengutamakan kesihatan dan kesejahteraan pembeli, peruncit dan pekerja kami.
“Walaubagaimanapun, dengan peningkatan kes di Kuching, kami juga terdedah kepada virus seperti yang lain,” jelasnya dalam satu kenyataan di laman Facebook.
Pengurusan pusat beli belah itu turut menegaskan bahawa The Spring sentiasa mengamalkan standard kebersihan yang tinggi dengan mengadakan pembersihan secara teliti setiap hari dan akan terus berbuat sedemikian dengan tekun.