Pusat kegiatan untuk wanita

DALAT: Bagi memastikan komuniti wanita di Dalat dan kawasan sekitar memiliki sebuah pusat khas, bangunan Jabatan Wanita dan Keluarga Sarawak JWKS@Dalat bakal dibuka dan beroperasi pada penghujung tahun ini. 

Difahamkan JWKS@Dalat itu merupakan yang ketujuh ditubuhkan di negeri ini selepas Kuching, Serian, Sibu, Bintulu, Limbang dan Sarikei. 

Menurut Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak Datuk Seri Fatimah Abdullah, bangunan itu akan menjadi pejabat JWKS dan pusat kegiatan untuk wanita. 

“Bangunan ini kami sewa bagi pihak JWKS. 

Kami akan berbincang dengan pemilik bangunan agar bangunan ini dijadikan sebagai pusat latihan untuk wanita di bawah kelolaan JWKS. 

“Persiapan sewajarnya telah dilakukan dan kerja ubah suai turut dibuat bagi memastikan ia digunakan sebagai JWKS@Dalat dan pusat latihan untuk wanita, malah minggu depan kita akan mendapat kebenaran untuk disewakan,” katanya di sini. 

Adun Dalat itu berharap bangunan berkenaan akan menjadi platform kepada golongan wanita untuk meningkatkan kemahiran masing-masing, seterusnya menjana pendapatan. 

“Mudah-mudahan urusan ini akan berjalan lancar kerana kita menyasarkan untuk mewujudkan sebuah galeri di sini bagi menempatkan hasil produk wanita. 

“Berdasarkan pengalaman proses pengubahsuaian bangunan memakan masa lima bulan, malah kakitangan yang akan ditempatkan di sini nanti sudah ditetapkan dan kini mereka sedang menjalani latihan di Kuching,” jelasnya lagi. 

Terdahulu bangunan yang digunakan untuk JWKS Dalat terletak di kawasan tanah rendah dan sering dilanda banjir.

Suara Sarawak