Pusat kuarantin Betong perlukan 18 set PPE sehari

BETONG: Pusat kuarantin di Betong memerlukan kira-kira 18 set Peralatan Perlindungan Diri (PPE) bagi kegunaan sehari dan seandainya berlaku pertambahan kes, keperluan tersebut tidak mencukupi.

Adun Layar Gerald Rentap Jabu memberitahu, pihaknya masih menagih sokongan daripada NGO di negeri ini untuk menyumbang dalam apa-apa jua bentuk bantuan terutama bagi menampung keperluan petugas barisan hadapan.

“Kami berterima kasih kepada Jacqueline Fong serta pasukannya Tanoti Crafts yang telah menyumbang 140 penutup but, 200 penutup kepala, 200 penutup kasut untuk diagihkan kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Betong.

“Jumlah ini mencukupi untuk keperluan semasa. Namun jika terdapat peningkatan kes, tentu sekali kita memerlukan lebih ba-nyak untuk PPE,” katanya kepada Suara Sarawak.

Jelasnya, pusat kuarantin di Betong dipantau 18 petugas barisan hadapan yang bekerja syif setiap hari. “Ini bermakna kita memerlukan sekurang-kurangnya 18 unit PPE setiap hari,” ujarnya.

Sehingga kini tambah Rentap, Kolej Komuniti Betong sudah bersetuju menyediakan alat pelindung muka untuk disumbangkan kepada petugas barisan hadapan. Menurutnya, Persatuan Chung Hua Betong dan Pertubuhan Meninggikan Akhlak Che Zhong Khor Betong turut menyumbang makanan dan minuman.

“Pun begitu, saya masih mengharapkan bantuan daripada rakan-rakan NGO lain untuk mengagihkan bekalan ke Betong. “Setiap sumbangan membantu menyelamatkan negara daripada diancam wabak Covid-19.

“Saya juga memohon seluruh warga Betong untuk terus kekal di rumah sepanjang tempoh PKP sehingga 14 April depan,” jelasnya. Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian turut menerima sumbangan penutup mulut dan hidung serta pengimbas suhu.

Suara Sarawak