ARTIKEL

Pusat Memudah Cara Pelaburan beroperasi 1 Disember

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

KUALA LUMPUR: Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) mengumumkan Pusat Memudah Cara Pelaburan Malaysia atau Invest Malaysia Facilitation Centre (IMFC) mula beroperasi pada 1 Disember depan.

IMFC ditubuhkan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) merupakan pusat sehenti bagi hal-hal berkaitan pelaburan yang terletak di ibu pejabat MIDA bertujuan memudah cara urusan komuniti perniagaan dan para pelabur dalam sektor perkilangan dan perkhidmatan di pelbagai peringkat kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri.

Penubuhannya juga bertujuan mempercepatkan pelbagai proses kelulusan termasuk memberi khidmat rundingan serta nasihat kepada komuniti perniagaan dan para pelabur, sekali gus mengurangkan kerenah birokrasi dalam penyampaian perkhidmatan awam, kata MIDA dalam satu kenyataan sempena lawatan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz ke IMFC.

“Penubuhan IMFC secara fizikal adalah bukti komitmen berterusan kerajaan dalam merangsang pertumbuhan ekonomi negara.

“Selain daripada berperanan mencapai matlamat Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030, IMFC juga bakal menyumbang kepada usaha untuk menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan mesra pelabur dan mesra perniagaan yang terunggul di rantau ini,” kata Tengku Zafrul.

Beliau turut yakin IMFC mampu menawarkan nilai tambah penting bagi komuniti perniagaan dan para pelabur untuk memulakan atau mengembangkan perniagaan mereka di Malaysia.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MIDA, Datuk Arham Abdul Rahman berkata menerusi IMFC, Malaysia dapat memperkukuhkan lagi hubungan dengan para pelabur asing dan tempatan, seterusnya menyumbang kepada pertumbuhan sektor perkilangan dan perkhidmatan lebih cemerlang.

“Inovasi bukan hanya terletak pada penambahbaikan produk atau teknologi, tetapi juga dalam penyampaian perkhidmatan.

“IMFC ialah gerbang utama kepada bakal pelabur dan komuniti perniagaan sedia ada untuk mendapatkan sokongan dan kemudahan khusus menyeluruh daripada kementerian dan agensi kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri yang berkaitan,” jelasnya. – Bernama

LAIN-LAIN BERITA

Orchidmas sasar eksport orkid

KUCHING: Orchidmas International LLC, anak Syarikat Orchidmas Sdn Bhd yang berpangkalan di Putrajaya menyasarkan untuk mengeksport orkid Malaysia ke Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu (UAE),

TNB guna kenderaan elektrik

KUALA LUMPUR: Syarikat tenaga terkemuka Malaysia, Tenaga Nasional Bhd (TNB) komited kepada peralihan tenaga yang pantas dan bertanggungjawab, akan menggantikan 30 peratus daripada kenderaan operasinya

BERITA TERBARU