Pusat pemindahan sementara masih kekal 18 di empat daerah membabitkan 1,070 mangsa

KUCHING: Jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) kekal kepada 1,070 mangsa yang melibatkan seramai 345 keluarga setakat jam 8 pagi ini.

Menurut Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, kesemua mangsa tersebut masih ditempatkan di 18 PPS ketika ini.

Daripada jumlah itu, satu PPS dibuka di daerah Tatau, empat di Simunjan, dua di Samarahan dan 11 di Serian.

Daerah Serian kekal menjadi kawasan yang paling teruk terjejas akibat banjir dengan 785 mangsa daripada 255 keluarga dari kawasan itu direkodkan setakat ini.

Di Serian, jumlah terbesar mangsa banjir adalah di SK Tanah Puteh (285 mangsa, 99 keluarga) diikuti oleh Dewan Masyarakat Serian (141 mangsa, 51 keluarga).

Di daerah Simunjan, mangsa banjir yang ditempatkan di empat PPS masih kekal iaitu (94 orang daripada 35 keluarga), Dewan Masyarakat Lubok Buntin (27 orang daripada tujuh keluarga), Dewan Kampung Entangor, Sebuyau (39 orang daripada 16 keluarga) serta Masjid Kampung Seruyuk, Sebuyau (72 orang daripada 19 keluarga).

Di daerah Samarahan pula, dua PPS dibuka di Dewan Suarah (30 mangsa daripada enam keluarga) dan Dewan Serbaguna Kampung Bangka Semong (15 orang daripada lima keluarga).

Mangsa banjir di daerah Tatau kekal dengan lapan mangsa dari dua keluarga apabila hanya satu PPS dibuka.