KUCHING: Sarawak mengisytiharkan empat kluster baharu hari ini dengan dua daripadanya di Kuching dan masing-masing satu di Tatau dan Sibu.
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPNB) berkata, salah satu adalah Kluster Kilometer 23 Jalan Puncak Borneo yang melibatkan penghuni sebuah pusat pemulihan narkotik.
“Instituti pusat pemulihan ini terletak di Kilometer 23, Jalan Kampung Mambong, Off Jalan Puncak Borneo di Kuching.
“Sebanyak 122 individu telah disaring dengan 28 daripadanya disahkan positif, 38 negatif, manakala 60 masih menunggu keputussan makmal,” ujar JPBN dalam kenyataan, hari ini.
Tambah JPBN, satu lagi kluster di Kuching adalah Kluster Jalan Setia Raja yang merupakan kluster tempat kerja iaitu sebuah pasar raya di Muara Tabuan dengan 10 kes dikesan positif.
Mengulas lanjut JPBN berkata, kluster baharu di Tatau adalah Kluster Sungai Separai iaitu rumah panjang yang di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dan sebanyak 33 kes positif dikesan.
“Sementara Kluster Jalan Sungai Antu di Sibu melibatkan rumah pekerja syarikat simpanan sejuk beku dan sebanyak 24 kes dikesan positif,” ujar JPBN.
Dalam pada itu, JPBN berkata lima kluster diisytiharkan tamat iaitu Kluster Sungai Ngungun (Kanowit), Kluster Sebujok (Sri Aman), Kluster Jelang (Betong), Kluster Tebakang (Serian) dan Kluster Jalan Sukma (Kuching).