Pusat pengumpulan hasil tani akan dibina di Sebauh

BINTULU: Kerajaan Sarawak bercadang mewujudkan pusat pengumpulan hasil tani di kawasan Sebauh bagi merancakkan lagi sektor pertanian dan industri berasaskan pertanian di kawasan berkenaan.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata langkah ini sejajar dengan komitmen kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dalam memastikan rakyat di pendalaman dan luar bandar tidak ketinggalan serta setaraf dengan kawasan lain yang sudah maju.

Jelasnya, beliau telah berbincang dengan wakil rakyat di kawasan berkenaan, Datuk Sri Dr. Stephen Rundi Utom mengenai perkara itu.

Kita menyerahkan kepada beliau (Rundi) mengenal pasti lokasi strategik untuk tujuan itu, ujarnya semasa berucap pada majlis Ngiling Tikai
Petronas bersama komuniti Sebauh di Rumah Meikle Ding, Sekutan, Sebauh, di sini.

Uggah, yang juga Menteri Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah memberitahu program pertanian memfokus untuk memastikan pendapatan rakyat bertambah melalui penggunaan teknologi baharu supaya hasil tanaman yang diusahakan dapat menambah sumber pendapatan penduduk.

Justeru katanya, penduduk luar bandar khususnya Sebauh perlu mempelbagai aktiviti pertanian dan tidak menghadkan untuk satu jenis tanaman sahaja.

Pemangku Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Jaul Samion, Menteri Utiliti merangkap ADUN Kemena Datuk Sri Dr. Stephen Rundi Utom, Ahli Parlimen Bintulu Datuk Sri Tiong King Sing, Ahli Parlimen Kapit Datuk Alexander Nanta Linggi, Penasihat Penyelidikan Sains Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang, Residen Bahagian Bintulu Jack Aman Luat, Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia LNG, Mohamed Syazwan Abdullah @ Laga Jenggi hadir sama.

Suara Sarawak