
MUKAH: Kerajaan Sarawak kini melaksanakan pelbagai inisiatif dalam usaha meningkatkan taraf sosial ekonomi rakyat pedalaman dan luar bandar, termasuk membina Pusat Pengumpulan Produk (PPP) di Kampung Sok, di Matu.
Pusat pertama seumpama itu bukan sahaja berperanan sebagai pusat pemasaran tetapi juga penjenamaan untuk produk yang dihasilkan oleh komuniti di daerah berkenaan.
Menurut Pegawai Daerah Matu Wan Hipni Wan Mohamad, pusat terbabit merupakan salah satu usaha terbesar dalam Projek Bersepadu Pembangunan Ekonomi Kampung (PROSPEK).
“Matu tersenarai sebagai salah satu daripada daerah di Sarawak dalam PROSPEK dengan melibatkan sebanyak sembilan buah kampung.
“Antara projek yang besar dirancang program Prospek ialah pembinaan pusat pengumpulan produk yang di bina di Kampung Sok. Pusat pengumpulan ini menjurus ke arah pemasaran dan penjenamaan produk usahawan daerah ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri Majlis Perasmian Kaunter Satelit Perkhidmatan Kebajikan di Pejabat Daerah Kecil Igan, semalam.
Isnin lalu, Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Martin Ben, berpeluang menghadiri taklimat sebelum meninjau perkembangan pelaksanaan PROSPEK di Matu.
Siri lawatan turut disertai Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti Dan Ombudsman) Datuk Dr Juanda Jaya.