
KUCHING: Kerajaan Sarawak akan mewujudkan sebuah pusat psikologi dan kaunseling utama di negeri ini sebagai pusat khidmat jaringan utama kepada orang awam di negeri ini.
Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, perancangan yang telah mendapat kelulusan kabinet itu dibentuk bagi memastikan jaringan perkhidmatan dapat dilaksanakan di seluruh negeri Sarawak.
“Kita telah mengenal pasti lokasi keberadaan para tenaga khidmat nasihat sedia ada dari Kuching hingga ke Lawas menerusi sistem pemetaan selaras dengan penggunaan sistem era digital masa kini.
“Jadi dengan adanya pusat itu nanti akan lebih memudahkan kerja-kerja jaringan atau menghubungkan para pakar-pakar kita kepada orang awam yang memerlukan bantuan,” katanya pada sidang media di pejabatnya di Bangunan Baitulmakmur, Petra Jaya hari ini.
Beliau menjelaskan usaha mewujudkan pusat psikologi dan kaunseling adalah untuk melaksanakan pengesanan secara lebih efisien terhadap mana-mana individu yang memerlukan khidmat nasihat.
Katanya, ia sekali gus akan menjimatkan masa serta memudahkan orang awam membuat permohonan sekiranya perkhidmatan sedemikian diperlukan.
“Kita sedia maklum ada beberapa kawasan di Sarawak tidak mempunyai pakar khidmat nasihat.
“Justeru untuk menampung mana-mana daerah atau kawasan yang tidak mempunyai pakar tersebut, pusat itu kelak akan berperanan sebagai sistem rujukan untuk menjaringkan si pelapor kepada pakar-pakar yang berada di lokasi terdekat kawasan,” ujarnya.
Fatimah berkata, setakat ini pihaknya dalam perancangan untuk menentukan lokasi pengoperasian pusat yang paling efektif dan mudah untuk dirujuk oleh orang awam.
Terdahulu, majlis menyaksikan Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak telah menerima seramai 11 Penolong Pegawai Pembangunan Gred S29 (lantikan kontrak) yang dilantik sebagai Pelindung dan Pegawai Akhlak untuk ditempatkan di Pejabat Kebajikan Masyarakat Bahagian (PKMB).
Justeru, Fatimah percaya kesemua pegawai mampu menggalas tugas dengan baik sepanjang penugasan khususnya dalam menangani isu sosial melibatkan kanak-kanak di negeri ini.
Turut hadir Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti II, Razi Sitam.