KUCHING: Pusat Sejarah Sarawak perlu ditubuhkan untuk mengetengahkan secara khusus mengenai sejarah Sarawak, baik dari segi Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), sejarah dalam era moden termasuk arkeologi.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier (Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan) Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali berkata ia memandangkan ketika ini, Sarawak masih belum memiliki sebuah institusi khusus dalam memelihara dan memulihara sejarah serta warisannya.
“Sudah tentu kita mempunyai muzium tetapi ia tidak spesifik kerana muzium perlu menjaga banyak perkara, jadi kita mahu sebuah institusi khusus yang menumpukan kepada sejarah Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Persidangan Antarabangsa Sejarah Sarawak di sini, hari ini dengan turut dihadiri Yang Dipertua Ikatan Graduan Melayu Sarawak Datu Dr Sanib Said.
Justeru bagi merealisasikan hasrat itu, beliau berkata akan membincangkan mengenainya dengan Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Terdahulu dalam ucapannya, Hasidah berkata sejarah Sarawak merupakan satu subjek yang paling menarik untuk dipelajari namun masih ada lompang dalam
penyelidikan sejarah Sarawak yang belum lagi dikaji khususnya mengenai zaman yang dipercayai berusia ribuan tahun.
Menjelas lanjut, beliau berkata penemuan rangka manusia prasejarah di Gua Niah membuktikan bahawa keberadaan manusia di pulau Borneo khususnya di
Sarawak antara yang terawal di dunia dalam anggaran 50,000 tahun.
Selain itu, katanya Sarawak juga dikenali sebagai lubuk arkeologi di Asia Tenggara, pemuliharaan warisan arkeologi di Santubong dan beberapa tempat lain yang dikenal pasti merupakan satu anugerah yang perlu dipelihara sebagai warisan generasi akan datang.
Hasidah menambah beberapa kajian juga menyatakan bahawa Sarawak dahulunya pernah menjadi sebuah pusat dagangan yang kaya dengan hasil dagangan sehingga
dikenali oleh masyarakat luar.
“Penjelajah Portugis menamakan Sarawak sebagai Cerava yang terkenal dengan hasil eksport galian antimoni dan hasil gaharu yang bermutu tinggi.
“Begitu juga kewujudannya di dalam pensejarahan Jawa yang ditulis oleh Pengarang Agung Prapanca menyebut tentang empat kerajaan yang pernah wujud
sezaman dengan keagungan Majapahit pada abad ke-14 iaitu Sawaku, Beruneng, Melano dan Kalka membuktikan bahawa Sarawak bukanlah baharu dalam peta sejarah
tanah air malah lebih awal dari kerajaan Melaka,” katanya.