Pusat servis rasmi terpilih beroperasi

KUCHING: UMW Toyota Motor Sdn Bhd (UMWT) mendapat kelulusan daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) untuk membuka semula pusat servisnya.

Sejajar itu, Toyota akan memulakan operasi cawangan servis terpilih untuk kecemasan dan keperluan servis segera, dalam kapasiti minimum sahaja.

Semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuat kuasa pada 18 Mac lalu, semua perniagaan kecuali yang berkaitan perkhidmatan penting dikehendaki memberhentikan operasi.

Pusat servis kenderaan menjadi antara operasi perniagaan yang perlu ditutup, walaupun servis dan bantuan kecemasan dibenarkan.

Namun, susulan lanjutan pelaksanaan PKP sehingga 28 April, Miti memberi kebenaran kepada syarikat automotif untuk menyambung semula perkhidmatan lepas jualan di cawangan terpilih.

“Perkhidmatan kepada pelanggan adalah berdasarkan temu janji sahaja.

Pelanggan perlu menghubungi pusat servis untuk mengesahkan pusat servis berkenaan telah mula beroperasi, dan seterusnya menetapkan temu janji yang sesuai sebelum datang ke premis.

“Pelanggan juga dinasihatkan untuk sentiasa mematuhi PKP ketika dalam perjalanan,” kata Toyota dalam satu kenyataan semalam.

Menurutnya, segala usaha akan diambil untuk memastikan keselamatan dan perlindungan pelanggan ketika mereka berada di pusat servis.

“Menjaga jarak sosial sekurang-kurangnya satu meter atau lebih akan di amalkan bagi mengelakkan kemungkinan jangkitan virus,” ujarnya.

Berkenaan semua kenderaan yang di beli daripada UMWT atau pengedar rasmi dengan tempoh jaminan sah yang berakhir di dalam tempoh PKP, lanjutan 30 hari akan diberikan bermula dari hari terakhir PKP dilaksanakan nanti.

Syarikat juga akan terus menyediakan sokongan serta bantuan kepada semua pelanggan yang mempunyai sebarang kecemasan atau pertanyaan sepanjang tempoh PKP melalui talian hotline sedia ada.

Dalam pada itu, Presiden UMW Toyota Motor K. Ravindran berkata, mereka selalu meletakkan pelanggan sebagai keutamaan.

“Semua kenderaan Toyota yang dihantar ke pusat servis akan diperiksa secara menyeluruh untuk memastikan ia berada dalam keadaan terbaik.

“Bagaimanapun, kami juga ingin menggesa pelanggan untuk terus mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan dan membantu untuk menghentikan penularan wabak Covid-19 di Malaysia,” jelasnya.